Nelydia Senrose jadi mangsa?

Nelydia Senrose jadi mangsa?
Namun sebahagian netizen tidak berputus asa apabila menulis di ruangan komen adik Uqasha, yang juga aktres Nelydia Senrose. - Gambar fail
SEJAK semalam, industri hiburan heboh seketika dengan berita penahanan aktres, Uqasha Senrose.

Dan beberapa jam selepas salinan laporan dan gambar aktres berusia 26 tahun ini berada di balai polis tersebar, Uqasha telah bertindak menutup ruangan komen akaun Instagramnya, kira-kira jam 11 malam.

Namun sebahagian netizen tidak berputus asa apabila menulis di ruangan komen adik Uqasha, yang juga aktres Nelydia Senrose.

Meluahkan rasa kesal dengan tindakan Uqasha mengambil barangan terlarang dan tidak kurang juga yang mahu mendapatkan pengesahan mengenai berita terbabit.
BACA: "Saya tak lalok, orang sengaja nak kenakan saya" - Uqasha Senrose

Bagaimanapun ada segelintir peminat mempertikaikan tindakan netizen lain menulis di akaun Instagram Nelydia dan menyifatkan ia sebagai satu tindakan tidak adil.

Semalam, seorang artis wanita popular, dipercayai Uqasha ditahan bersama 53 biji pil Eramin 5 di hadapan sebuah rumah di Jalan Burhanuddin Helmi, Taman Tun Dr Ismail.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim yang mengesahkan penahanan artis itu berkata, suspek dibebaskan dengan jaminan polis hari ini.

"Barang kes akan dihantar ke Jabatan Kimia dan setelah laporan kimia diperolehi, kertas siasatan akan dirujuk kepada Pengarah Pendakwaan Negeri (PPN) untuk keputusan selanjutnya," katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Sehingga kini, Uqasha belum memberi sebarang maklum balas biarpun salinan laporan dan gambarnya di balai polis tersebar di sosial media.