Filem karya pengarah Korea Selatan, Bong Joon Ho, Parasite, diumumkan sebagai Filem Terbaik di Anugerah Akademi 2020 yang berlangsung di Los Angeles, Amerika Syarikat.

Parasite berjaya mengalahkan filem-filem besar yang lain termasuk 1917, Ford vs Ferrari, The Irishman, Jojo Rabbit, Joker, Little Women, Marriage Story dan Once Upon a Time in Hollywood.

Selain Filem Terbaik, Parasite turut mengungguli kategori Filem Antarabangsa Terbaik, Pengarah Terbaik, arahan Bong Joon Ho dan Lakon Layar Terbaik.

“Kami tidak pernah membayangkan perkara ini akan berlaku. Kami amat gembira.

“Saya rasa kemenangan ini adalah saat yang bersesuaian ketika ini. Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua yang terlibat dalam Anugerah Akademi atas keputusan yang dibuat ini. Terima kasih,” kata penerbit filem itu, Kwak Sin Ae ketika berucap di pentas Dolby Theatre.

Filem arahan Bong Joon Ho ini meraih enam pencalonan iaitu kategori Filem Terbaik, Pengarah Terbaik, Lakon Layar Asal Terbaik, Filem Antarabangsa Terbaik, Rekaan Produksi Terbaik, Suntingan Filem Terbaik.

Berikut, Astro AWANI senaraikan keputusan penuh Oscars 2020 mengikut senarai 10 kategori utama yang bertanding. Keputusan penuh menyusul.


1. Filem Terbaik

* Parasite


2. Pelakon Lelaki Terbaik

* Joaquin Phoenix (Joker)

Foto Reuters

3. Pelakon Wanita Terbaik

* Renee Zellweger (Judy)


4. Pelakon Pembantu Terbaik

* Brad Pitt (Once Upon a Time in Hollywood)


5. Pelakon Pembantu Wanita Terbaik

* Laura Dern (Marriage Story)


6. Pengarah Terbaik

* Bong Joon Ho (Parasite)


7. Filem Animasi Terbaik

* Toy Story 4 (Josh Cooley, Mark Nielsen & Jonas Rivera)


8. Lakon Layar Terbaik

* Parasite (Bong Joon-ho, Jin Won Han)


9. Sinematografi Terbaik

* 1917 (Roger Deakins)


10. Filem Antarabangsa Terbaik

* Parasite (Bong Joon Ho)

Dalam pada itu, filem kisah perang 1917 pula membawa pulang tiga anugerah bagi kategori Adunan Suara Terbaik (Sound Mixing), Kesan Visual Terbaik serta Sinematografi Terbaik.

BACA: Oscars 2020: Brad Pitt, Laura Dern dinobat Pelakon Pembantu Terbaik.

Oscars kali ke-92 itu mengumpulkan barisan-barisan filem terbaik bagi mengiktiraf pencapaian terbaik untuk karyawan filem Hollywood dalam industri perfileman sepanjang tahun 2019.

Mengekalkan formula yang sama iaitu tiada kelibat hos, acara berprestij itu sebaliknya mengetengahkan penyampai-penyampai anugerah yang berbagai terdiri daripada barisan-barisan penghibur tempatan.

BACA: Oscars 2020 tanpa pengacara, penyampai anugerah gabungan nama besar industri filem Hollywood.