VOKALIS kumpulan Exists, Mamat mendedahkan dirinya sedang menghadiri sesi kaunseling untuk memulihkan masalah ketagihan yang dihadapinya.

Kata Mamat, dia juga bakal menghadiri sesi pemulihan selepas tamatnya Konsert Exists Reunion yang bakal berlangsung pada Sabtu ini.

"Saya akan menghadiri sesi pemulihan selepas konsert. Buat masa ini, saya menghadiri sesi kaunseling.

"Perkara itu akan berterusan selepas tamatnya konsert nanti. Saya baru sahaja menghadiri sesi kaunseling ini... Baru sahaja bermula satu sesi.

"Selalunya, sesi itu akan berlangsung tiga bulan sahaja. Selepas itu, semuanya akan okay, Insya-Allah," katanya ketika ditemui Gempak di sesi media bersama Exists Reunion di Stadium Malawati Shah Alam, malam tadi.



Terdahulu, Mamat ditahan polis atas kesalahan dadah pada 8 September malam dan dibebaskan daripada tahanan reman dengan jaminan polis sekitar pada 10 September.

BACA: Bekas Vokalis Kumpulan Popular Ditahan Polis Miliki Dadah

BACA: Mamat Exists Dibebaskan Dengan Jaminan Polis, Teruskan Latihan Untuk Konsert Exists Reunion

Dalam pada itu, Mamat juga mendedahkan sokongan dari anggota Exists yang lain membuatkan dirinya lebih berkeyakinan.

"Sokongan dari anggota Exists membuatkan saya lebih yakin untuk menghadiri sesi kaunseling.

"Sejujurnya, perkara ini tak seharusnya berlaku dan ia dihebahkan. Saya cuba kuatkan semangat, ada yang kecam, ada juga yang menyokong.

"Saya betul-betul minta maaf atas apa yang berlaku. Saya berharap ada hikmahnya dan dengan adanya sokongan yang datang, ia memberikan saya komitmen besar untuk meneruskan kerjaya seni dengan lebih fokus," katanya lagi.


Buat pertama kalinya dalam sejarah, Konsert Exists Reunion ini menggabungkan semua formasi asal Exists iaitu Musa (bass), Along (gitar), Ajai (keyboard), Shah (gitar), Ujang (dram) dan dua vokalist iaitu Mamat dan Ezad.

Konsert Exists Reunion bakal diadakan di Stadium Malawati, Shah Alam pada Sabtu ini, 28 September 2019 dan Mes Theatre at Media Corp, Singapura pada 5 Oktober ini.

Orang ramai yang ingin mendapatkan tiket Konsert Exists Reunion anjuran Shiraz Projects ini boleh melayari laman web www.mytiket.asia.

Tiket dijual pada harga RM 700, RM360, RM260, RM160 dan RM130.