Pihak polis akan memanggil Datuk Farid Kamil bagi merakam semula keterangannya selepas dia membuat dakwaan terbaharu berhubung laporan yang dibuat sebelum ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Superintendan Ku Mashariman Ku Mahmood berkata pihaknya akan meneliti semua dakwaan yang dibuat dalam sidang media pelakon itu semalam.

“Beliau (Farid) tidak ada membuat laporan polis mengenai dakwaannya yang dibuatnya semalam. Kami akan meneliti semua dakwaannya dalam sidang media dan melakukan siasatan lanjut,

“Dakwaan terbarunya itu juga tidak menjejaskan siasatan terhadap laporan yang dibuat sebelum ini,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI.

BACA: Farid Kamil dakwa dipukul 11 anggota polis dalam lokap

BACA: 'Lain yang dilapor, lain yang ditahan' - Farid Kamil dedah dua individu sebenar

Farid sebelum ini membuat laporan polis di Balai Polis Taman Tun Dr Ismail mendakwa dirinya dianiaya tiga rakan artis yang mencemarkan minumannya dengan dadah sehingga berkelakuan ganas di Balai Polis bulan lalu.

Susulan itu, polis memanggil pelakon KL Gangster, Sofi Jikan bagi membantu siasatan dan menahan reman pelakon berkenaan tiga hari kerana didapati positif dadah jenis ganja.

Malah penyanyi kumpulan Innuendo, Ahmad Tajuddin atau Taj dan Ahmad Fairuz atau Osh daripada kumpulan Firdaus turut tampil memberi keterangan kerana mengganggap diri mereka dianiaya.