Tutup

Produser tempatan tidak lagi berani buat filem patriotik sebab tiada jaminan

Produser tempatan tidak lagi berani buat filem patriotik sebab tiada jaminan
Razak percaya skrip yang menarik bersama pelakon yang bagus serta paling penting melakukan kajian mendalam terhadap plot tersebut mampu menghasilkan sebuah filem patriotik yang diminati ramai penonton. Astro GEMPAK
DEKAN Fakulti Filem, Teater dan Animasi (FiTA), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Datuk Profesor Dr A Razak Mohaideen berpandangan tiada jaminan daripada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) untuk slot tayangan filem patriotik pada 31 Ogos menjadi faktor utama produser tempatan tidak berani menghasilkan filem genre tersebut.
 
Jelasnya, masa tayangan filem patriotik pada tarikh keramat itu sangat penting dalam menarik perhatian penonton ke pawagam.
 
"Waktu Hari Kemerdekaan Negara adalah masa yang paling sesuai untuk tayangan filem patriotik tapi tiada jaminan Finas untuk berikan slot ini pada produser," katanya kepada Astro Gempak.
 
Ujarnya, permintaan penonton untuk filem genre patriotik tetap ada meskipun segelintir beranggap filem ini membawa subjek dan mesej yang berat untuk disampaikan.
 
"Bukit Kepong sebagai contoh walaupun ia filem patriotik tapi mempunyai elemen komersial yang tinggi dan penonton tidak jemu menonton berulang kali.
 
"Sekiranya, filem patriotik tidak ditayangkan pada Hari Kemerdekaan Negara atau Hari Malaysia (16 September), produser berfikir adalah bahaya dan berisiko tinggi untuk menghasilkan filem sebegini jika tidak mendapat jaminan daripada FINAS," katanya.

BACA: 5 filem patriotik adaptasi kisah benar... wajib tonton! 
 
Razak mengakui beliau pernah berdepan situasi sama ketika filemnya, Raya Tak Jadi, tidak mendapat slot tayangan ketika Aidilfitri.
 
"Saya percaya sama konsepnya walaupun ada produser berminat nak buat filem patriotik tapi tak berani buat kecuali FINAS boleh bagi jaminan.
 
"Sepatutnya apabila FINAS minta Sijil Izin Produksi, produksi sudah bagitau filem khusus untuk musim tertentu, tarikh itu perlu diberikan dan Skim Wajib Tayang perlu mengiktiraf tarikh kelulusan tersebut," katanya.
 
Beliau percaya skrip yang menarik bersama pelakon yang bagus serta paling penting melakukan kajian mendalam terhadap plot tersebut mampu menghasilkan sebuah filem patriotik yang diminati ramai penonton.
 
"Produser juga tak nak buat filem patriotik kerana ia memerlukan bajet besar seperti apabila bercerita plot 50-an atau 70-an, props sendiri sudah bernilai jutaan ringgit," katanya.