SEPERTI tahun-tahun sebelum ini, acara Superbowl menjadi antara yang paling ditunggu dalam kalendar sukan, khususnya di Amerika Syarikat.

Bukan sahaja menanti pertembungan dramatik antara dua pasukan futbol terhebat, tetapi juga persembahan semasa waktu rehat, atau dikenali sebagai halftime show, juga menjadi tumpuan.

Bagi masyarakat luar AS, American football bukan jenis sukan yang dikenali dan diminati. Justeru, perhatian mereka lebih terarah kepada persembahan artis jemputan semasa waktu rehat.

Tahun ini, penyanyi Lady Gaga diberi peluang membuat persembahan tersebut.

Tampil menyanyikan lapan buah lagu secara medley, persembahan penuh bertenaga Gaga selama 13 minit itu mendapat pujian ramai. Dari segi produksi, ia disifatkan yang terbaik pernah dipersembahkan artis yang mengisi slot halftime.

Video rasmi persembahan Gaga yang dimuat naik ke YouTube NFL telah mencatat lebih 10 juta tontonan.

Persembahan Gaga tahun ini mencatat jumlah tontonan 117.5 juta tontonan, naik dua peratus daripada persembahan tahun lalu yang dibarisi Coldplay, Beyonce dan Bruno Mars.

Pun begitu, ia masih belum mampu mengatasi rekod jumlah tontonan teramai setakat ini yang dipegang Katy Perry yang mengadakan persembahan itu dalam edisi 2015.

Persembahan Perry ditonton lebih 120 juta penonton.

Superbowl tahun ini yang berlangsung di Houston, Texas, Ahad lalu, dimenangi New England Patriots, menewaskan Atlanta Falcons dengan skor 34-28.