Kemunculan pertama di pentas teater dan bakal memegang watak ikonik berikan tekanan hebat kepada pelakon popular Sherie Merlis.

Ini kerana beliau bakal menjayakan teater ‘Surat Sabariah’ yang akan dipentaskan pada awal bulan Disember selain bakal memegang watak Sabariah yang cukup sinonim menerusi filem ‘Ibu Mertuaku’.

'Surat Sabariah' menceritakan bagaimana Kassim Selamat dan Sabariah meneruskan hidup sewaktu pasangan itu tinggal di bawah kolong.

Ini merupakan salah satu babak dalam filem 'Ibu Mertuaku' yang dibintangi Allahyarham Tan Sri P. Ramlee dan Datuk Sarimah Ahmad.

"Saya begitu takut, Allah sahaja yang tahu. Bayangkan saya tidak dapat menghafal skrip pada minggu kedua sesi latihan. Saya tidak mahu menghampakan pihak pengarah dan penerbit.

“Namun setelah berbincang dengan mereka dan juga suami yang memberi sokongan, sedikit sebanyak mereka membantu saya untuk mentafsirkan watak Sabariah,” kata Sheri ketika sidang media Surat Sabariah di Cat in the Box, Empire Damansara.

Sherie Merlis
Surat Sabariah menampilkan (dari kiri) Razak Osman, Azman Hassan, Sherie Merlis, Aloeng Silalahi dan pengarah teater Hariry Jalil. -Gambar: Astro AWANI

Sherie akui akan ada yang membuat perbandingan lakonannya dengan Sarimah namun beliau lebih selesa untuk menjiwai watak Sabariah dengan cara tersendiri.

"Saya tidak ikut cara Datuk Sarimah. Saya melakonkan watak Sabariah cara saya sendiri," katanya.

Walaupun terkenal menerusi drama TV dan filem, Sherie berkata berlakon di atas pentas teater mempunyai cabaranya tersendiri.

"Kita perlu menjiwai watak itu dari awal hingga akhir. Kalau salah, kita tidak boleh bagi balik emosi itu. Saya juga tertanya-tanya, boleh tak saya menunaikan tanggungjawab ini? Lakonan saya nanti akan sampai tak kepada penonton? Sebagai pelakon, itu menjadi keutamaan.

"Kalau kita berlakon filem atau drama, kita ada 'cut', kita boleh ambil 'feel'. Kalau kita membuat silap, kita boleh lakonkan babak itu semula," jelasnya.

Sheri bersetuju untuk menerima tawaran berlakon 'Surat Sabariah' kerana kekuatan naskhah hasil tulisan Hariry Jalil.

“Saya memang tidak ada masa untuk teater sebelum ini kerana sibuk dengan filem dan drama TV. Namum apabila terima skrip ini, saya terus jatuh cinta kerana kita mahu luahkan sesuatu yang jujur dan ikhlas,” katanya.

Surat Sabariah
Azman Hassan memegang watak Kassim Selamat dan Sherie Merlis sebagai Sabariah. -Gambar: Astro AWANI

Sementara itu, Hariry yang juga bertindak sebagai pengarah teater berkata karya beliau tiada mengena dengan filem ‘Ibu Mertuaku’.

Kajian dan proses kreatif selama dua tahun fokus kepada psikologi watak sahaja.

Jelas beliau, ia adalah ekstrak berdasarkan fiksyen dari babak kehidupan Kassim dan Sabariah di bawah kolong.

“Babak (dalam filem) itu menarik tetapi tidak kuat. Jadi saya kaji psikologi kedua-dua watak. Saya ingin tahu apa sebenarnya terjadi kepada Kassim dan Sabariah yang menyebabkan Sabariah menulis surut kepada ibunya iaitu Nyonya Mansoor,” katanya.

Beliau juga mahu penonton menonton dengan minda yang terbuka agar mereka dapat fokus kepada watak Kassim Selamat dan Sabariah berbanding kepada pelakon asal watak-watak berkenaan.

'Surat Sabariah' bakal dipentaskan pada 4 hingga 7 Disember di Black Box, Damansara Performing Arts Centre (DPAC). Ia turut menampilkan Azman Hassan sebagai Kassim Selamat.