Berita  |  Hiburan

#TN50Seni: 'Buka minda, bincang secara bijaksana' - Netizen

#TN50Seni: 'Buka minda, bincang secara bijaksana' - Netizen
Antara reaksi di media sosial berkata program TN50 ini merupakan sebuah forum terbuka dan hadirin harus saling menghormati. -fotoBERNAMA
KUALA LUMPUR: ‘Bincang secara bijaksana!'

Itu merupakan antara reaksi pengamal media sosial susulan sesi program Dialog TN50 Bersama Perdana Menteri: Segmen Penggiat Seni (Budayawan) yang berlangsung pada malam Rabu.

Kekecohan berlaku apabila pemilik syarikat produksi Metrowealth International Group (MIG) Datuk David Teo didakwa ditampar pelakon veteran Sulaiman Yassin (atau lebih dikenali sebagai Mat Over).

“Bincang secara bijaksana, minda yang terbuka. Kalau ada yang tidak berpuas hati, (lebih baik) berterus terang dan bukan bersikap biadab,” kata pengguna Facebook Ina Usop.


Mohd Safrizal berkata program TN50 ini merupakan sebuah forum terbuka dan bukan “sembang kedai kopi atau perhimpunan.”
“Adab kena jaga. Kena hormat moderator. Orang sudah beri peluang bercakap, mahu lagi mengadu.

“Hormat orang lain dan orang lain akan hormat kita,” katanya di Facebook.

Kejadian berlaku ketika David dilihat bertegas mahu bertanya kepada moderator dialog iaitu pelakon Datuk Rosyam Nor namun tidak diendahkan.

BACA: Kenapa perlu cakap kasar dengan PM Najib? - Mat Over

“Buat TN50 untuk orang dalam bidang seni, tapi soalan hanya boleh ditanya hadirin yang duduk salah satu bahagian.  

"Memanglah hadirin-hadirat dari bahagian lain bengang,” kata Zul Amin.

Sementara itu, Mohd Asri Chik berkata penggiat seni bukan sahaja untuk menghibur tetapi untuk mendidik masyarakat kepada yang lebih baik.

“Tindakan sedemikian boleh menimbulkan pelbagai persepsi,” katanya di Facebook.

BACA: Dia ingat dia bercakap dengan budak production - Mamat Khalid 

Sengketa mereka tidak berpanjangan apabila David dan Mat Over dilihat bersalaman dan berdamai seketika kemudian.

Sementara itu, usaha Astro AWANI untuk mendapatkan penjelasan dari David sendiri mengenai insiden yang  berlaku sehingga kini masih gagal.