Wakaf lagu untuk kebajikan.

Amalan wakaf biasanya dilakukan melalui pemberian harta kekayaan seperti tanah dan rumah.

Namun, mengambil pendekatan berbeza, Kengkawan Project melakukan ibadah wakaf menerusi sebuah lagu.

Pengerusi Kengkawan Project, Norhana Osman Haron memaklumkan, lagu ’Jangan Bimbang’ diciptakan khas untuk menjana pendapatan melalui penjualan CD dan digital store seperti i-Tunes.

“Lagu Jangan Bimbang ini dicipta khas untuk jana pendapatan. Cara dia melalui jual CD, digital store seperti i-Tunes dan setiap hasil penjualan itu akan terus masuk dalam tabung kebajikan atau misi kemanusiaan,” jelas Norhana ketika ditemubual Astro AWANI.

Norhana berkata, merupakan antara platform yang boleh digunakan para artis untuk melakukan kebajikan sambil berhibur.

“Sebenarnya wakaf lagu ni sangat baru. Ia dimasukkan dalam wakaf seni, tak termasuk dalam bentuk harta benda.

“Ia berbetuk virtual yang tak boleh pegang tapi hasilnya masih boleh diwakafkan.

“Jadi, ini antara lain untuk beri peluang kepada artis dan orang seni untuk buat kebaikan iaitu untuk saham akhirat mereka,” ujarnya lagi.


Berfikir di luar kotak, idea pasangan suami isteri ini – Faizal Mahmood dan Norhana membuka inisiatif baru kepada golongan NGO untuk mengumpul dana secara berterusan.

“Untuk NGO seperti kami, Kengkawan Project, kami selalu perlukan dana untuk aktiviti.

“Kami selalu pikir apa cara untuk dapat dana berterusan yang tak perlu untuk berterusan meminta-minta, jadi kami fikir mungkin melalui lagu.

“Sebab lagu ni 'catchy', kemudian lagu ni mainan atau hiburan halwa telinga setiap orang, jadi melalui lagu tu mungkin mudah la untuk orang menderma,” jelasnya.

Mengulas lanjut, penulis lirik, Addep Nahar, dia bersyukur, lagu yang dihasilkan susulan musibah yang melanda negara – misteri kehilangan MH370 dan banjir besar yang melanda negeri Pantai Timur ketika itu, akhirnya dapat didendangkan dengan penuh bermakna.

“Permulaan cerita lagu ni, semua datang dari hati orang yang ikhlas, org yang baik. Bila dengar cerita dari Faizal dia nak buat lagu ni untuk dia dan isterinya Ana untuk diwakafkan, saya tak pernah dengar lagu diwakafkan ni.

“Jadi bila dengar, ini satu benda baik, jadi kita harapkan sesuatu benda yang kita lakukan tu mendapat rahmat dari Allah dan mungkin dengan benda ni Allah akan izinkan kita bersama orang yang soleh di syurga nanti,” kata Adeep.

Adeep turut sama menyumbang suara dalam lagu ‘Jangan Bimbang’.



Selain itu, Altimet, Andy Flopp Poppy, Erwan Muhibbain dan LOKA turut sama berganding bahu menjayakan lagu ini.

Melangkah kehadapan, Kengkawan Project berharap dapat menghasilkan sebuah album yang boleh diwakafkan yang antara lain boleh menerapkan nilai-nilai dakwah sambil berhibur dan beramal.