Nasib pemain drum Search, Yazit Ahmad nampaknya tidak berseorangan menghadapi keperitan ujian penyakit buah pinggangnya apabila dia kini turut mendapat perhatian rakan-rakan dari kumpulan rock yang lain.

Terbaharu, anggota kumpulan rock terkenal tanah air yang juga rakan seperjuangannya, XPDC, membuat keputusan untuk menjadikan pentas konsert mereka sebagai medan untuk mengutip sumbangan kepadanya.

Ia akan dilaksanakan pada konsert “Raja Metal Gegar Utara” yang bakal berlangsung pada 2 Mac depan bertempat di Tapak Ekspo Seberang Jaya Pulau Pinang.

Dalam sidang media yang diadakan pada Khamis, Pengurus XPDC yang hanya dikenali sebagai Yazid berkata perkara itu telah dibincangkan secara teliti dengan pihak penganjur Double B Entertainment walaupun ia agak sedikit lewat.

“Cadangan ini timbul selepas kita rasakan bahawa perlunya Yazit yang juga rakan kita dalam industri ini dibantu.

"Ia adalah wajar kerana dia sekarang tidak sihat. Ketika inilah nilai persahabatan itu perlu kerana dia dalam kesusahan.

"Saya kira ia adalah usaha yang tidak seberapa daripada pihak kami tetapi kami berharap sumbangan itu nanti sedikit sebanyak akan meringankan beban beliau ketika ini,” kata Yazid ketika ditemui pada sidang media tersebut.

Yazit bersama kumpulan XPDC. - Foto Astro AWANI/Raja Hisyam Raja Zaid

Dalam pada itu pemain bass XPDC, Zua pula berkata sudah sampai masanya rakan-rakan seperjuangan tampil untuk meringankan beban Yazit memandangkan ujian yang dihadapinya bukanlah ringan.

“Kita harus ingat, sebagai artis kita bukanlah pekerja yang gajinya setiap bulan seperti orang lain.

"Hari ini mungkin hari Yazit, siapa tahu nanti tiba pula hari saya atau hari orang lain. Ini adalah sebahagian daripada kewajipan kita juga,” katanya.

Yazit yang turut hadir ke sidang media tersebut dilihat masih lagi uzur dan bertongkat terharu dengan usaha yang dimainkan oleh anggota XPDC.

Beliau tidak menyangka sama sekali usaha murni yang dilakukan oleh kumpulan rock tersebut.

“Saya menghormati dan mengucapkan terima kasih banyak kepada XPDC.mereka ini Mael, Amy, Zua dan Jeff saya kenal lama.

"Saya harap lebih banyak artis-artis dan rakan-rakan lain mencotohi usaha ini, bukan untuk saya sahaja tetapi untuk artis-artis lain juga selepas ni," katanya.

Jelas Yazit kos perubatan yang perlu ditanggungnya ketika ini semakin hari semakin meningkat dan beliau terpaksa membeli sendiri bekalan darah yang diperlukannya.

Malah katanya ada masanya dia tidak mampu mendapat bekalan itu kerana kekurangan wang dan dengan keuzuran yang dia lalui ketika ini yang menghadkan pergerakkannya.

Walau bagaimanapun jelasnya dia akan terus bermain muzik sekiranya dia sihat kerana muzik baginya adalah salah satu terapi untuk dirinya melawan penyakit buah pinggangnya.

Menurut penganjur sebanyak empat kotak tabung prihatin Yazit Search akan diletakkan sepanjang Konsert Raja Metal Gegar Utara XPDC yang bakal diadakan bagi membolehkan peminat yang hadir menyalurkan sumbangan kepada Yazit.

Malah jelas penganjur,pihaknya juga akan turut memberi sumbangan khas peribadi kepada beliau untuk meringankan beban yang ditanggungnya ketika ini.