Kekeliruan orang ramai mengenai kedudukan Sabah dan Sarawak dalam proses pembentukan Malaysia sedikit sebanyak menimbulkan rasa tidak puas hati terutama di kalangan penduduk Sabah sendiri.

Penganalisis Politik di Universiti Malaysia Sabah (UMS), Dr Zaini Othman berpendapat, masalah itu bagaimanapun dapat diperbetulkan melalui pendidikan yang boleh memadamkan kekeliruan tersebut.

“Ramai mengatakan Sabah menyertai Malaysia walhal Sabah tidak menyertai Malaysia. Sabah membentuk Malaysia. Mereka menyertai proses rundingan untuk membentuk Malaysia dan oleh itu, Sabah boleh dikatakan sebagai satu entiti yang sangat signifikan.

“Jika tiada peranan Sabah pada masa itu, Persekutuan Malaysia yang ada pada hari ini mungkin tidak akan melibatkan Sabah,” kata Dr Zaini.

Tegas beliau, atas kedudukan itulah status Sabah dan Sarawak mengikut sejarah tidak sama dengan negeri-negeri lain.

“Negeri-negeri lain membentuk Persekutuan Tanah Melayu sedangkan Sabah membentuk persekutuan Malaysia. Oleh itu kita perlu melihat perkara ini secara berhati-hati kerana ini juga dapat menimbulkan sensitiviti.

“Jika melihat secara logik, bagaimana Sabah boleh menyertai Malaysia sedangkan Malaysia belum lagi wujud pada masa itu?” kata beliau.

Ekoran ini, beliau mencadangkan supaya aspek pembentukan negara ini selepas 50 tahun diberikan penekanan yang lebih meluas sebagai agenda perpaduan dan penyatuan nasional bagi mengelakkan rakyat Sabah berasa terpinggir.


“Dalam konteks 20 Perkara dan pembentukkan Malaysia, perlunya satu usaha di mana semua pihak memahami sejarah tersebut.

“Dari segi pendidikan pula, ia perlu diberi tekanan yang menyeluruh agar semua rakyat Malaysia memahami apa yang dikatakan dengan pembentukkan Persekutuan Malaysia dan kepentingan untuk memahami Perjanjian Malaysia 1963.

“Melalui pendidikan menyeluruh ini ianya dapat mengatasi segala kekeliruan terhadap sejarah tersebut,” tambah Dr Zaini.

Kedudukan geografi Sabah yang jauh dari Semenanjung sedikit sebanyak menyumbang kepada perasaan terpinggir.

Dalam satu tinjauan rambang di kalangan penduduk Sabah, mereka memberikan reaksi yang pelbagai — ada yang berpuas hati dengan apa yang ada sekarang; ada juga yang mahu suara mereka didengar oleh pemerintah di Putrajaya.


Selain pembangunan, isu hubungan kaum juga menjadi perhatian di kalangan rakyat Sabah.

Nadia Aima Holland, 30, seorang etnik Kadazan, mengakui beliau rasa sedikit terkilan apabila suku kaum etnik yang ada di Sabah tidak dipandang serius sebagaimana tiga kaum terbesar di Semenanjung iaitu Melayu, Cina dan India.

“Sebagai masyarakat dari kaum Kadazan Dusun, saya rasa agak terpinggir dari Semenanjung Malaysia terutama sekali menerusi aspek penyatuan bangsa. Usaha Perdana Menteri untuk perpaduan di kalangan berbilang bangsa atau 1Malaysia adalah satu usaha yang amat bagus.

“Tetapi saya melihat ini lebih mementingkan tiga kaum terbesar di Semenanjung sahaja. Kami kaum Dusun juga mahu merasakan seperti kami sebahagian daripada inisiatif ini,” kata Nadia.

Dr. Zaini mengingatkan kerencaman kaum, budaya dan agama penduduk di Sabah memberikan warna yang menarik kepada Malaysia. Bagaimanapun, beliau mengingatkan bahawa kaum, budaya dan agama itu tidak harus jadi label untuk membeza-bezakan rakyat.

“Kita tidak seharusnya membezakan masyarakat kita kepada kumpulan majoriti atau minoriti. Berdasarkan konsep masyarakat Malaysia, lebih tepat sekiranya kita mengatakan masyarakat Malaysia bersifat plural dan sangat pelbagai,” kata Dr Zaini.

Kerencaman budaya itu tegas Dr. Zaini adalah aset negara yang boleh memberi nilai tambah kepada dunia keilmuan dan harus dijadikan kekuatan negara.