Seramai 10 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mengangkat sumpah sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Kedah yang baharu hari ini.

Majlis berlangsung di hadapan Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah, di pejabat baginda di Wisma Darul Aman di sini.

Memperkenalkan barisan Exco baharu itu, Menteri Besar Muhammad Sanusi Md Nor berkata, formula pelantikan mereka ditentukan di peringkat persekutuan mengikut konsensus parti gabungan dalam Perikatan Nasional (PN).

Katanya, ia merupakan gabungan pemimpin berpengalaman di mana enam daripada mereka pernah memegang jawatan dalam pentadbiran kerajaan sebelum ini.

Beliau turut mengumumkan akan memegang portfolio Perancang Ekonomi Negeri, Perancang Negeri, Hal Ehwal Tanah, Hasil Bumi dan Sumber Asli, Majlis Ekonomi Kedah, Kewangan dan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC).

Berikut ialah senarai Exco beserta portfolio mereka:

1. Datuk Ku Abd Rahman Ku Ismail: Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Sains Teknologi Inovasi dan Pengajian Tinggi (ADUN Guar Chempedak)

2. Datuk Dr Mohd Hayati Othman: Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Pihak Berkuasa Tempatan (ADUN Tokai)

3. Azman Nasrudin: Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Makanan, Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Pengangkutan dan Hal Ehwal Masyarakat India (ADUN Lunas)

4. Datuk Suraya Yaacob: Pengerusi Jawatankuasa Bekalan Air, Sumber Air dan Kerja Raya, Tenaga, Pengairan dan Saliran (ADUN Sungai Tiang)

5. Halimaton Shaadiah Saad: Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dan Kebajikan (ADUN Bukit Kayu Hitam)

6. Datuk Siti Aishah Ghazali: Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Pembangunan Insan dan Kesejahteraan Rakyat, Pembasmian Kemiskinan (ADUN Merbau Pulas)

7. Brig Jeneral (B) Datuk Najmi Ahmad: Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Pendidikan (ADUN Kupang)

8. Wan Romani Wan Salim: Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Komunikasi dan Multimedia, Perdagangan Dalam Negeri Hal Ehwal Pengguna (ADUN Bukit Pinang)

9. Dr Robert Ling Kui Ee: Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Alam Sekitar, Perpaduan, Masyarakat Cina dan Siam (ADUN Sidam)

10. Mohd Firdaus Ahmad: Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Seni dan Budaya, Belia dan Sukan dan Pembangunan Usahawan dan Koperasi (ADUN Kuah).

Empat daripada mereka merupakan muka baharu iaitu Mohd Hayati, Najmi, Wan Romani dan Robert Ling.

Beliau turut berkata, pelantikan tiga Exco wanita membuktikan PN Kedah menghargai keterlibatan wanita dalam kerajaan negeri.

PN membentuk kerajaan negeri yang baharu selepas mendapat sokongan 23 ADUN minggu lalu, disusuli majlis angkat sumpah Muhammad Sanusi sebagai Menteri Besar ke-14 pada Ahad.

BACA: 10 EXCO Kedah dijangka angkat sumpah esok

BACA: Mukhriz umum lepas jawatan MB Kedah berkuat kuasa serta merta