Datuk Seri Mukhriz Mahathir hari ini mengumumkan meletak jawatan sebagai Menteri Besar Kedah berkuat kuasa serta-merta.

Peletakan jawatan itu sekali gus membawa kepada pembubaran pentadbiran kerajaan negeri yang disertai 10 Ahli Majlis Mesyuarat Negeri (Exco) Kedah dari kerajaan Pakatan Harapan campur Bersatu.

Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu berkata, beliau dimaklumkan telah hilang sokongan majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Kedah.

"Pagi ini saya telah sembah maklum kepada Tuanku Sultan bahawa atas sebab saya telah kehilangan kepercayaan majoriti dalam kalangan ADUN, maka dengan ini saya melepaskan jawatan sebagai Menteri Besar Negeri Kedah Darul Aman berkuatkuasa serta merta.

"Saya doakan mudah-mudahan Allah terus mengekalkan keamanan dan memakmurkan negeri dan rakyat Kedah dengan penuh keberkatan, keredhaan dan kerahmatan hendaknya," kata Mukhriz pada satu sidang media di Wisma Darul Aman di sini pagi ini.



Sebelum ini, 23 ADUN Kedah telah membentuk gabungan Perikatan Nasional (PN) iaitu 15 dari Pas, 4 dari Bersatu, 2 dari Barisan Nasional (UMNO) dan 2 Bebas.

Sehubungan itu, menurut Mukhriz, beliau akan bersama 12 ADUN Pakatan Harapan yang lain, termasuk satu dari Bersatu, berada di blok pembangkang sehingga DUN Kedah dibubarkan kelak.

Bagaimanapun, katanya, kedudukan Ketua Pembangkang di DUN Kedah masih belum diputuskan.

"Dengan peletakan jawatan saya sebagai MB, semua jawatan Exco negeri juga tergugur," tambahnya.

Mukhriz mengadakan sidang media di Wisma Darul Aman hari ini. - Astro AWANI

BACA: Siapa pun jadi MB, yang penting rakyat Kedah mahu kestabilan politik

BACA: "Saya masih lagi Menteri Besar Kedah" - Mukhriz Mahathir

BACA: 19 ADUN Kedah hilang kepercayaan terhadap Mukhriz

Selain meletak jawatan sebagai Menteri Besar Kedah, Mukhriz turut melepaskan jawatan Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) yang telah disandangnya sejak 2018.

Pada Jumaat, kesemua 36 ADUN di Kedah telah menghadap Sultan Kedah Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah berhubung kedudukan terkini kerajaan negeri Kedah.

Ia selepas tindakan 2 ADUN PKR yang mengumumkan meletak jawatan dan bergelar ADUN Bebas, sekali gus kerajaan Pakatan Harapan campur Bersatu Kedah hilang sokongan majoriti yang dimiliki.