Majlis Amanah Rakyat (MARA) mengesahkan 12 pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kuala Klawang terlibat dalam kemalangan membabitkan sebuah bas awam di Bukit Tangga, Jelebu, petang ini.

Enam daripada pelajar yang cedera telah dibawa oleh ambulans ke Hospital Jelebu, manakala lima lagi yang cedera ringan telah diberikan rawatan di Klinik Kesihatan Jelebu.

"Selain itu, seorang pelajar Tingkatan 4 turut dirawat di Hospital Tuanku Jaafar, Seremban," katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan Bahagian Komunikasi Korporat hari ini.

BACA: Bas bawa majoriti pelajar terbabas, terbalik di Bukit Tangga

Sehubungan itu, pihak MARA mengucapkan jutaan terima kasih kepada anggota penyelamat dan kakitangan kesihatan yang terlibat dalam memberikan rawatan segera kepada pelajar MRSM yang terbabit.

"Profesionalisme yang ditunjukkan oleh kakitangan kesihatan serta anggota penyelamat yang terlibat dalam membantu mangsa kemalangan amat dihargai oleh MARA serta ibu bapa para pelajar.

"Dalam masa yang sama, MARA turut menggerakkan usaha susulan untuk memastikan rawatan dan tahap kesihatan pelajar yang terlibat dalam kemalangan ini dipantau sebaik mungkin," katanya.

Terdahulu hari ini, seorang pelajar dilaporkan maut manakala 20 lagi cedera dalam satu kemalangan membabitkan sebuah bas dan kenderaan Nissan X-Trail di Jalan Pantai-Bukit Tangga, Jelebu, pada kira-kira jam 4 petang Khamis.