Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar mengesahkan penemuan 139 kubur pelbagai saiz di kawasan seluas 11 kilometer persegi di gunung Perlis dekat Wang Kelian, Perlis siang tadi.

Pihaknya juga turut menemui satu mayat yang hampir reput dan sejumlah 28 khemah dipercayai pernah digunakan sindiket pemerdagangan dan penyeludupan manusia yang ditinggalkan kosong sejak beberapa bulan lalu.

Menurut Khalid, setakat ini belum dapat dipastikan lagi berapa jumlah mayat yang turut ditanam di dalam kubur berkenaan.

Kubur
Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar mengesahkan penemuan 139 kubur pelbagai saiz di kawasan seluas 11 kilometer persegi di Wang Kelian. -Gambar: Astro AWANI

“Kita akan mulakan tugas mengali kubur-kubur ini. Pasukan forensik seramai 31 orang telah mula masuk pagi ini untuk membuat penggalian dan kita temui rangka manusia dan menjalankan siasatan forensik ke atasnya yang bermula pagi tadi,” katanya.


Bagaimanapun beliau tidak menolak kemungkinan terdapat lebih dari satu mayat yang ditanam di dalam kubur yang sama.

Ia berdasarkan saiz khemah yang ditemui itu mampu memuatkan sehingga 300 orang pada satu-satu masa.

Kubur
Salah satu gambar yang menunjukkan kain kafan yang ditemui di lokasi. -Gambar: Astro AWANI


Menurut Khalid, penemuan itu adalah susulan daripada Op Wawasan Khas Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam yang dijalankan pihaknya sejak 11 Mei lalu.

Sementara itu, Khalid turut memaklumkan pihaknya kini sedang berusaha untuk mengeluarkan mayat-mayat berkenaan lewat petang ini.

BACA: Kubur besar pelarian disyaki ada kaitan aktiviti pemerdagangan manusia - Zahid

BACA: Kubur besar pelarian: Macam mana boleh terlepas pandang? - Shahidan

BACA: Kita akan cari dalang di sebalik kubur besar pelarian - Najib

BACA: Polis temui kubur dan penempatan pelarian di Padang Besar - Zahid

BACA: Dakwaan kubur besar Rohingya di Perlis, KPN akan perjelas esok