Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini menegur tindakan Peguam Negara Switzerland Michael Lauber yang membuat kenyataan terbuka mengenai siasatan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Menurut beliau, tindakan itu disifatkan sebagai tidak baik kerana boleh menyebabkan kerenggangan hubungan antara dua negara.

"Dengan membuat kenyataan terbuka begitu, pada hemat saya ia tidak baik kerana ia bukan sahaja akan menyebabkan kerenggangan hubungan antara dua negara tetapi juga menyebabkan bias dalam laporan media," kata Ahmad Zahid kepada pemberita di Malaysian Inbound Tourism Association Fair di Kuala Lumpur, petang ini.

Katanya, maklumat sedemikian seharusnya disalurkan menerusi saluran yang betul iaiti melalui G2G atau kerajaan dengan kerajaan.

"Dan saya harap maklumat sedemikian mesti disalurkan melalui saluran rasmi kerajaan kerana ianya adalah berdasarkan G2G," tegas Ahmad Zahid.

Beliau mengulas mengenai Lauber yang secara rasmi meminta bantuan Malaysia dalam siasatan kemungkinan berlaku perlanggaran undang-undang negara itu oleh 1MDB, melibatkan wang berjumlah AS$4 bilion (RM16.8 bilion).

Jabatan Peguam Negara pada Sabtu menyatakan kesediaan untuk bekerjasama dengan pihak Switzerland berhubung siasatan terhadap syarikat pelaburan negara itu.

Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali dalam satu kenyataan memberitahu akan melihat terlebih dahulu siasatan Switzerland bersama dengan hasil siasatan pihak berkuasa berkaitan untuk tindakan sewajarnya.

Pada Selasa lalu, Mohamed Apandi mengumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah mengembalikan semula sebahagian besar dana yang dikatakan 'RM2.6 bilion' yang diterima daripada keluarga diraja Arab Saudi.

Dengan itu, menurutnya, Najib tidak melakukan sebarang kesalahan berhubung kes SRC International dan dana RM2.6 bilion, dan kesnya juga ditutup.

Tambahnya, wang sejumlah AS$620 juta (RM2.03 bilion) telah dikembalikan semula oleh Najib pada Ogos 2013 kerana dana tersebut tidak diguna pakai.

"Ia merupakan sumbangan peribadi kepada PM daripada keluarga diraja Arab Saudi dan telah diberikan kepada beliau tanpa sebarang balasan," katanya pada satu sidang khas.

Sehubungan itu, beliau juga berkata tiada keperluan bagi Malaysia membuat permintaan bantuan bersama dalam perkara jenayah kepada negara asing untuk melengkapkan siasatan berhubung sumbangan dana itu.