Semua dokumen berhubung isu syarikat pelaburan strategik negara, 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dilihat akan dimanipulasi seandainya semua ahli lembaga pengarah tidak digantung atau dipecat dengan serta-merta.

Bekas Naib Ketua UMNO Bahagian Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan berkata, prosiding siasatan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) juga akan terganggu seandainya individu berkenaan masih berada di dalam barisan lembaga pengarah 1MDB.

"Saya amat bersetuju dengan kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa semua ahli lembaga pengarah 1MDB untuk meletakkan jawatan secara serta-merta.

"Selepas saya membuat laporan polis terhadap keseluruhan ahli lembaga pengarah 1MDB pada 12 Disember tahun lepas, saya sudah sarankan agar semua ahli lembaga pengarah 1MDB untuk meletakkan jawatan ataupun sekurang-kurangnya menggantung tugas mereka semua secara 'immediate effect'.

"Ini penting agar semua siasatan oleh pihak berkuasa akan dapat berjalan secara bebas dan adil dan ia juga dapat menjamin setiap dokumen penting di dalam 1MDB tidak disentuh oleh sesiapa," katanya kepada Astro AWANI di sini hari ini.

Khairuddin mengulas kenyataan Muhyiddin yang mengesahkan telah memberitahu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk memecat semua ahli lembaga pengarah 1MDB.

Muhyiddin berkata demikian bagi mengulas tentang video semasa pertemuan tertutup dengan ahli UMNO yang disebarkan sebuah blog.

BACA: 1MDB: "Saya beritahu PM pecat semua ahli lembaga pengarah syarikat" - Muhyiddin

TONTON: Muhyiddin komen video pandangannya mengenai 1MDB

Dalam pada itu Khairuddin turut melahirkan rasa bimbang terhadap kesan yang akan dihadapi kerajaan jika ‎ahli lembaga pengarah 1MDB tidak dipecat segera.

"Sekiranya keseluruhan ahli lembaga pengarah dan pentadbir lama 1MDB masih kekal di sana, saya takut kalau-kalau mereka mempunyai ruang untuk memanipulasi dokumen tertentu yang penting yang bakal digunakan sebagai bahan bukti kelak.

"Situasi ini amat saya tidak fahami. Najib selaku Menteri Kewangan 1 dan penasihat 'advisory board' 1MDB sepatutnya sudah lama meminta mereka meletak jawatan atau sekurang-kurangnya menggantung tugas mereka.

"Ini penting untuk menjamin satu siasatan yang benar-benar bebas dapat dilaksanakan tanpa sebarang pengaruh dari kakitangan lama," jelasnya.

Pada Khamis, Menteri Kewangan II Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah memberitahu Putrajaya tersalah tafsir tentang baki pelaburan 1MDB yang diuruskan oleh Cayman Monetary Authority sebanyak US$1.103 bilion.

BACA: 1MDB: Putrajaya tersalah tafsir tentang aset Pulau Cayman - Ahmad Husni

Ahmad Husni berkata aset yang dibawa pulang dari Pulau Cayman dan disimpan di sebuah bank itu adalah dalam bentuk unit, bukan wang seperti yang dilapor sebelum ini.