Kerajaan diminta tidak gelabah dan menjawab setiap persoalan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad secara jujur dan telus.

Ketua Program Sains Politik Pusat Pengajian Sejarah, Sains dan Strategi, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSKK) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff berkata, persoalan wang akaun 1Malaysia Development Bhd (1MDB) diharap dapat diselesaikan sebelum ia menjadi lebih parah dan menjejaskan keyakinan rakyat terhadap kerajaan.

"Saya fikir kerajaan tidak perlu gelabah dengan pertanyaan Tun Mahathir ini. Jawab sahaja dengan jujur, maka Insha Allah keyakinan rakyat dapat diraih.

"Yang menjadi masalahnya ialah apabila sekali kerajaan menjawab hutang 1MDB tidak ada masalah, dan hari ini menterinya mengakui hutang 1MDB membebankan.

"Saya fikir sudah sampai masanya pemimpin kerajaan lebih telus dalam memberi reaksi kepada keluhan dan teguran rakyat supaya masalah negara, jika ada, dapat diselesaikan sebelum ia menjadi lebih parah. Terbukalah," katanya dalam catatan di laman Facebooknya.

Agus mengulas kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Wahid Omar yang menyifatkan 1MDB kini memberi tumpuan kepada usaha untuk menyelesaikan isu-isu semasa dan melaksanakan kajian strategik seperti yang digariskan oleh pengurusan dan lembaga pengarah.

Kata Abdul Wahid, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak juga telah mengarahkan supaya audit dilaksanakan oleh Ketua Audit Negara dan laporan itu dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara.

Dalam pada itu, jelas Dr Mohammad Agus, tidak salah jika Dr Mahathir bertanya beberapa isu yang menjadi persoalan rakyat selain melihat tanggungjawab kerajaan untuk memberi penerangan jujur kepada rakyat.

"Apa salahnya apabila Tun Dr Mahathir bertanyakan kerajaan mengapa hutang 1MDB tinggi dan di manakah wang dari Cayman Island yang dibawa keluar itu disimpan?" soalnya.

Pada Sabtu, Dr Mahathir dilapor tidak menyalahkan Najib atas kegagalan projek jambatan bengkok, sebaliknya mahu Najib menjawab isu berhubung kehilangan wang akaun 1MDB.

Sebelum ini, pungutan suara yang dikendalikan oleh Merdeka Center dan stesen radio BFM mendapati majoriti rakyat tidak faham isu 1MDB.

Pungutan suara itu menjelaskan, sebanyak 70 peratus majoriti daripada golongan berpendapatan rendah yang ditanya tidak tahu tentang kontroversi berkenaan manakala 75 peratus pula tidak tahu tentang peranan badan itu.

Sementara, Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah percaya isu 1MDB tercetus berasaskan persepsi yang dimainkan oleh golongan tertentu.

Bagaimanapun, Ahmad Husni yakin tidak semua rakyat terpengaruh dengan persepsi yang diwujudkan berhubung polemik syarikat pelaburan strategik kerajaan itu, termasuk yang dimainkan oleh pihak media tertentu.