Ahli perniagaan buruan polis, Low Taek Jho atau lebih terkenal dengan panggilan Jho Low mempunyai hubungan baik dengan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak.

Saksi kesembilan sesi perbicaraan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi yang merupakan bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, berkata, hubungan itu jelas kelihatan sewaktu Najib menjadi Timbalan Perdana Menteri dan juga selaku Menteri Kewangan.

"Saya nampak Jho Low ada perhubungan secara langsung dengan Najib. Sebagai contoh, ketika mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah TIA, beliau boleh terus menghubungi Najib melalui telefon untuk meminta pandangan," katanya hari ini.

Tambah Shahrol, Jho Low mempunyai akses secara terus untuk bertemu Najib di setiap kediamannya ketika beliau memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri ketika dia mengadakan kunjungan pada April 2009.

"Dia (Jho Low) kelihatan biasa dengan pengawal keselamatan Najib serta laluan keluar masuk, termasuk memesan minuman Milo ais daripada kakitangan di kediaman rasmi berkenaan.

"Jadi Jho Low bawa saya terus kepada pengawal dan melambai tangan kepada mereka," katanya yang berkongsikan detik ketika mengadakan pertemuan untuk memperkenalkan CEO syarikat Mubadala kepada Najib.

BACA: 1MDB: Amhari tidak terima arahan Najib untuk lapor polis, SPRM

Bagaimanapun hujahan itu menerima bantahan dari pihak pembelaan diketuai Muhammad Shafee Abdullah yang menyifatkan perkara itu sebagai khabar angin dan tidak wajar kerana Jho Low tiada di mahkamah.

Perbicaraan berlangsung di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung esok.