Seramai 2,648 pendatang tanpa izin (PATI), 609 tekong serta 157 penyeludup telah ditahan melalui Op Benteng bermula 1 Mei hingga 3 Ogos lalu, kata Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, pihak berkuasa turut merampas sebanyak 105 bot dan 278 kenderaan jenis lain yang terlibat dalam percubaan menceroboh sempadan negara.

"Selain itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut menahan lima individu atas kesalahan imigresen semalam.

"Secara keseluruhan PDRM membuat 64 sekatan jalan raya di seluruh negara melalui Op Benteng semalam dan memeriksa 29,408 kenderaan bagi mengekang kemasukan PATI terutama di lorong-lorong tikus," katanya dalam kenyataan media harian Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Selasa.

Sementara itu, beliau berkata, orang ramai boleh melaporkan sebarang aktiviti pencerobohan PATI ke talian hotline National Task Force di talian 011-6251 1223.