Seramai 227 orang warga asing di tiga kluster Depoh Tahanan Imigresen (DTI) positif COVID-19.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, 126 kes dikesan di DTI Bukit Jalil, 66 kes di DTI Semenyih termasuk satu kes melibatkan warga Malaysia dan kluster terbaharu di DTI Sepang, adalah sebanyak 36 kes.

"Bagi kluster DTI Bukit Jalil, sebanyak 1,536 sampel telah diambil yang terdiri daripada 1,422 Orang Kena Tahan (OKT) dan 114 kakitangan. Daripada jumlah tersebut, 126 kes adalah positif, 514 kes adalah negatif dan 896 sampel masih menunggu keputusan.

"Bagi kluster DTI Semenyih, sebanyak 1,757 sampel telah diambil yang terdiri daripada 1,630 OKT dan 127 kakitangan. Daripada jumlah tersebut, 66 kes adalah positif, 753 kes adalah negatif dan 938 sampel masih menunggu keputusan," katanya dalam sidang media harian di sini pada Isnin.

BACA: Kluster ketiga depoh tahanan dikesan, kali ini di Sepang

Manakala, di DTI Sepang, sebanyak 1,449 sampel telah diambil di mana 36 kes positif COVID-19 dikesan (29 kes dilaporkan hari ini).

"540 kes negatif COVID-19 dan 873 sampel masih menunggu keputusan," tambahnya.

Secara keseluruhan setakat ini, 227 kes positif daripada ketiga-tiga kluster DTI ini adalah melibatkan bukan
warganegara Malaysia iaitu 53 kes warganegara Bangladesh, 41 kes warganegara India, 38 kes warganegara Indonesia, 37 kes warganegara Myanmar, 28 kes warganegara Pakistan, 17 kes warganegara China, 4 kes warganegara Kemboja, 3 kes warganegara Nepal, 2 kes warganegara Sri Lanka, 1 kes warganegara Filipina, 1 kes warganegara Libya, 1 kes warganegara Mesir dan 1 kes warganegara Syria.

Pelbagai aktiviti pencegahan dan kawalan telah dijalankan misalnya, aktiviti nyah kuman, pendidikan kesihatan seperti penjagaan kebersihan diri, kerap mencuci tangan dengan air dan sabun serta penekanan mengenai penjarakan sosial.

"KKM melalui Pejabat Kesihatan Daerah akan meneruskan tindakan seterusnya iaitu menggunakan pendekatan tertumpu misalnya iasatan, pengesanan kontak rapat, penilaian risiko oleh pihak yang berkaitan, saringan gejala dan persampelan untuk mengesan kes secara aktif, kes positif akan diisolasi dan dirawat di hospital, manakala kontak rapat akan diletakkan di bawah Perintah Pengawasan dan Pemerhatian Bagi Kontak COVID-19 di bawah Seksyen 15(1) Akta 342," tambahnya.

KKM juga akan terus bekerjasama dengan pihak Jabatan Imigresen Malaysia, Polis Diraja Malaysia dan lain-lain agensi Kerajaan bagi pengurusan kes COVID-19 yang melibatkan Depot Tahanan Imigresen.