Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pulau Pinang merampas 27 tan buah kurma pelbagai jenama bernilai RM448,000 di sini hari ini kerana menggunakan logo halal tanpa kebenaran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Rampasan dibuat di sebuah gudang syarikat mengimport dan mengedar kurma di Bandar Perda di sini dalam satu serbuan bermula jam 11 pagi hingga 5 petang, hasil maklumat awam dan risikan bersama dengan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP).

Pengarah KPDNHEP negeri Mohd Ridzuan Abdul Ghapar berkata, hasil pemeriksaan mendapati syarikat berkenaan sudah tiga tahun beroperasi tanpa menggunakan logo halal yang diperakui Jakim.

"Hasil pemeriksaan mendapati syarikat itu mengimport kurma dari pelbagai negara di seluruh dunia dan kami mendapati bungkusan kurma itu menggunakan logo halal tanpa kebenaran Jakim malah logo juga tidak sama dengan yang asli.

"Serbuan itu adalah kejayaan terbesar pihak KPDNHEP dan JHEAIPP pada tahun ini kerana penggunaan logo halal tanpa kebenaran memang memberi kesan kepada orang Islam," katanya kepada pemberita selepas serbuan itu, di sini.

Selain itu, pihaknya juga mendapati kotak kurma yang dijual dan diedarkan oleh syarikat berkenaan mempamerkan logo halal yang menyerupai logo daripada pihak Jakim sedangkan tiada sebarang permohonan dibuat.

"Perakuan halal ini merupakan satu jaminan bagi umat Islam. Jadi, kita tidak mahu pihak peniaga sewenang-wenangnya menggunakan perakuan halal tanpa kebenaran daripada pihak jabatan agama Islam," kata Mohd Ridzuan.

Seorang Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP Pulau Pinang membandingkan logo halal Jakim dengan logo halal tiruan Jakim pada kotak buah kurma semasa menyerbu sebuah kilang yang membekalkan kurma di Bandar Perda hari ini. --fotoBERNAMA

Katanya, pemilik syarikat memberikan alasan tidak munasabah dan mendakwa tidak mengetahui bahawa pihaknya perlu mendapatkan perakuan halal daripada Jakim.

Berikutan itu, syarikat berkenaan didapati melakukan kesalahan di bawah Perintah 4(1) Perintah Perihal Dagangan (Perakuan Dan Penandaan Halal) 2011.

Sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM250,000. Bagi kesalahan kedua atau berikutnya, boleh didenda tidak melebihi RM500,000.

Mohd Ridzuan berkata susulan serbuan, pihaknya telah merekodkan keterangan pemilik syarikat berkenaan bagi membantu siasatan lanjut kes yang masih sedang dijalankan.

Ditanya sama ada akan berlaku masalah kekurangan bekalan kurma berikutan serbuan itu, beliau berkata beberapa syarikat lain dijangka mampu menampung permintaan kurma sepanjang bulan puasa nanti.