Tutup

28 ditahan susulan insiden pergaduhan di kuil Bestari Jaya - Polis

28 ditahan susulan insiden pergaduhan di kuil Bestari Jaya - Polis
Antara suspek yang ditahan selepas disyaki terlibat dalam pergaduhan di Kuil Kaliamma, Bestari Jaya malam tadi. -Foto PDRM
KUALA LUMPUR: Seramai 28 individu ditahan selepas disyaki terlibat dalam pergaduhan di antara dua kumpulan di Kuil Kaliamma, Bestari Jaya, Kuala Selangor malam tadi.

Dalam kejadian jam pukul 9.15 malam itu, seorang anggota polis cedera di bahagian tangan dan menerima enam jahitan selepas diserang ketika cuba mententeramkan keadaan.

BACA: Anggota polis cedera diserang dalam pergaduhan ketika perarakan keagamaan

Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat, satu perarakan keagamaan telah diadakan di kuil berkenaan, namun berlaku pertengkaran di antara dua kumpulan terbabit.
“Mereka bergaduh mengenai pemasangan khemah dan akhirnya sehingga menggunakan senjata parang.

Senjata yang digunakan suspek dalam pergaduhan di Kuil Kaliamma, Bestari Jaya, Kuala Selangor malam tadi.
“Polis yang cuba mententeramkan keadaan turut diserang oleh suspek malah seorang mangsa awam mengalami kecederaan putus sebahagian tapak tangan kiri dan dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk menerima rawatan,” katanya dalam satu kenyataan, pada Isnin.
Justeru itu, Fadzil berkata polis telah memburu dan berjaya menahan 28 individu dipercayai terlibat dalam rusuhan itu.

Sebahagian daripadanya ditahan oleh Cawangan Pencegahan Kongsi Gelap, Perjudian dan Maksiat, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Selangor dan JSJ Kuala Selangor.

Permohonan reman ke atas mereka akan dibuat Mahkamah Majistret Kuala Selangor hari ini.

“Pihak polis turut merampas lima bilah parang dipercayai digunakan semasa pergaduhan itu berlaku.

“Ketika ini pihak polis masih lagi memburu suspek lain yang terlibat di dalam kejadian,” jelasnya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh dan Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mencederakan dengan senjata hingga menyebabkan kecederaan parah.