Sebanyak 35 kematian akibat kebakaran dicatatkan di Sabah tahun lalu.

Sehubungan itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Kamarulzaman Malik Abdullah berkata, pihaknya bertekad mengadakan pelbagai kempen dan program tahun ini bagi mengurangkan kadar berkenaan.

"Kalau kita melihat kepada statistik tahun lepas, memang berlaku peningkatan kematian akibat kebakaran. Kita catatkan sebanyak 35 kematian.

"Jadi, pada tahun ini, kita berazam untuk mengurangkan insiden kematian akibat kebakaran.

"Kita ada program bomba bersama masyarakat. Kita ada kempen 1 Rapi (1 Rumah 1 Pemadam Api) dan juga kempen di musim perayaan," katanya.

Beliau berkata demikian pada satu sidang media sempena Program Apresiasi Bomba Bersama Media Sandakan, di sini, malam tadi.

BACA: Seorang maut dalam kebakaran besar rumah, tadika di Tongod

BACA: Lima maut dijilat api, jiran nampak mangsa berlari keluar dengan separuh badan terbakar

Mengulas lanjut, Kamarulzaman berkata, kebakaran membabitkan rumah sehingga membawa kepada kejadian maut rentung adalah yang tertinggi direkodkan di negeri ini.

"Kita juga mengesan ia berlaku pada waktu malam. Antaranya, kes kematian pada awal dan hujung tahun lalu.

"Ia membabitkan lima sekeluarga sekali gus," katanya merujuk kepada kematian lima sekeluarga di Tenom akibat kebakaran pada 31 Disember lalu.

"Justeru, pihak JBPM Sabah bertekad mempergiatkan kempen dan program untuk tahun ini," tambahnya.

VIDEO: Asrama terbakar, pelajar tahfiz di Tuaran hilang tempat berlindung