Kes penipuan penjualan barangan dalam talian di daerah itu meningkat kepada 40 kes membabitkan kerugian sebanyak RM81,654 bagi tempoh sembilan bulan tahun ini.

Ketua Polis Daerah Manjung ACP Tengku Mohd Zailan Tengku Ahmad Shah berkata jumlah itu meningkat sebanyak 6.4 peratus daripada 14 kes yang melibatkan kerugian berjumlah RM76,720 bagi tempoh sama tahun lalu.

"Peningkatan kes itu meliputi pelbagai penipuan dalam talian termasuk membabitkan jual beli kereta, peralatan gajet dan sebagainya manakala mangsa penipuan terdiri daripada pelbagai golongan termasuk ahli korporat, penjawat awam dan kerani," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata kebanyakan mangsa mengalami kerugian ribuan ringgit selepas memasukkan sejumlah wang ke dalam akaun bank dan kemudiannya tidak dapat menghubungi penjual berkenaan.

"Mangsa gagal mendapatkan barangan atau peralatan yang dibeli dan akaun bank berkenaan pula didapati telah didaftarkan atas nama orang lain," katanya sambil menambah kes itu disiasat di bawah Seksyen 420 kanun keseksaan kerana menipu.

Sementara itu, Tengku Mohd Zailan berkata statistik kemalangan maut di daerah Manjung turut menunjukkan peningkatan apabila sebanyak 69 kes direkodkan sehingga September tahun ini berbanding 54 kes bagi tempoh sama tahun lalu.

Beliau berkata kawasan panas yang sering berlaku kemalangan antaranya Jalan Sitiawan- Teluk Intan, Jalan Damar Laut-Batu Hampar dan Jalan Lumut-Ipoh.

Menurutnya, sebanyak 24,422 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan sehingga September tahun ini berbanding 13,095 saman direkodkan bagi tempoh sama tahun lalu.

Dalam perkembangan lain, Tengku Mohd Zailan berkata nilai rampasan dadah di daerah itu meningkat kepada RM128,288 sehingga September 2016 berbanding tempoh sama tahun lalu iaitu bernilai RM85,167.

Katanya rampasan dadah jenis heroin masih menunjukkan peningkatan apabila sebanyak 1,742 gram dirampas setakat tahun ini berbanding 1,288 gram pada tahun lalu.