Lima kementerian bersama Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) bergabung bagi mewujudkan sebuah pelan untuk menangani isu melibatkan kanak-kanak.

Rangka Pelan Hala Tuju Kesejahteraan Kanak-Kanak yang dijangka memakan masa sebulan itu bakal memberi fokus seputar isu kanak-kanak bantut, pelarian, penderaan seksual dan kebajikan kanak-kanak secara menyeluruh.

Inisiatif ini melibatkan Kementerian Kesihatan, Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Pendidikan, Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, langkah ini diambil demi membela nasib kanak-kanak sekaligus menunjukkan komitmen kerajaan bagi mencari pendekatan yang berkesan dalam menangani masalah ini.

“Mesyuarat antara kementerian hari ini adalah untuk mewujudkan koordinasi dan menunjukkan kesungguhan kita dalam menyelesaikan permasalahan ini.

“Kita tidak boleh mengatakan kita adalah masyarakat prihatin sekiranya mengenepikan mereka yang memerlukan.” ujarnya semasa sidang media di Pejabat Timbalan Perdana Menteri hari ini.

Terdahulu, Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar berharap sebuah Jawatankuasa Parlimen ditubuhkan bagi mengkaji dan mencari penyelesaian tuntas terhadap masalah kanak-kanak pinggiran di bandar.


BACA: Nurul Izzah gesa Jawatankuasa Parlimen Kanak-Kanak Pinggiran disegerakan


Ia merujuk kepada laporan “Kanak-Kanak Pinggiran” yang diterbitkan UNICEF (Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu) menunjukkan masalah kemiskinan bandar berkait rapat dengan masalah kekurangan zat makanan dalam kalangan kanak-kanak.

Ia menunjukkan sebanyak 10 peratus kanak-kanak yang tinggal di PPR terbabit menikmati kurang daripada tiga hidangan sehari.

BACA: Kanak-kanak PPR alami masalah kekurangan zat - UNICEF