Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar berharap sebuah Jawatankuasa Parlimen ditubuhkan bagi mengkaji dan mencari penyelesaian tuntas terhadap masalah kanak-kanak pinggiran di bandar dan ia harus bermesyuarat sebaik sahaja Parlimen mula bersidang pada bulan hadapan.

Pada masa yang sama, beliau menyatakan Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Wanita dan Pembangunan Keluarga Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail akan bermesyuarat dengan Menteri Kesihatan, Menteri Pendidikan dan Menteri Pembangunan Luar Bandar bagi melihat masalah kemiskinan bandar kalangan kanak-kanak secara keseluruhan.

“Mesyuarat akan diadakan pada Khamis ini dengan semua menteri yang terlibat bagi melihat tindakan yang sudah dibuat oleh kementerian-kementerian berkenaan terhadap masalah kanak-kanak miskin bandar susulan laporan “Kanak-Kanak Pinggiran” yang diterbitkan UNICEF (Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu) pada Mac lalu,” jelasnya kepada Astro AWANI di sini hari ini.

Nurul Izzah ditemui di PPR Desa Rejang di Setapak Jaya untuk sesi perjumpaan bagi mengupas dan mendalami masalah yang dihadapi komuniti PPR di sekitar ibu negara berdasarkan laporan UNICEF berkenaan.

“Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail juga sudah mengadakan pertemuan dengan UNICEF bagi membincangkan isu ini secara lebih serius dan kini dalam rangka menghasilkan pelan tindakan yang boleh membantu anak-anak dalam keluarga yang terkesan akibat kemiskinan bandar,

“Namun, sebelum itu pihak Datuk Seri Wan Azizah mahu melihat sendiri apakah tindakan yang sudah diambil kementerian-kementerian lain yang terlibat sama dalam isu ini supaya pelan tindakan itu nanti adalah lebih lebih konkrit dan berkesan.”

Kajian yang melibatkan tinjauan daripada 17 projek perumahan rakyat (PPR) di sekitar Kuala Lumpur mendapati masalah kemiskinan bandar berkait rapat dengan masalah kekurangan zat makanan dalam kalangan kanak-kanak.

Ia menunjukkan sebanyak 10 peratus kanak-kanak yang tinggal di PPR terbabit menikmati kurang daripada tiga hidangan sehari.

Baca: Kanak-kanak PPR alami masalah kekurangan zat - UNICEF

Ini adalah salah satu faktor yang menyebabkan kes kekurangan berat badan, terbantut, dan kurus kering dalam kalangan kanak-kanak di PPR dan mencatatkan dua kali ganda lebih tinggi berbanding purata kes di Kuala Lumpur.

Ia bagaimanapun ditolak Kementerian Pelajaran ketika pentadbiran Barisan Nasional apabila Menteri Pelajaran mempertikaikan hasil tinjauan yang diperoleh.

Baca: 'Tiada laporan murid terbantut, tak mampu beli makanan' - Mahdzir Khalid


* Laporan ini adalah sebahagian dari kempen 'Basmi Miskin Bandar' yang merupakan satu inisiatif Astro AWANI dalam mendalami masalah miskin bandar