Salah satu faktor yang mendorong penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) adalah kerana kerajaan menerima maklumat bahawa terdapat sekumpulan besar rakyat Malaysia yang melancong ke luar negara termasuk ke kawasan berisiko tinggi sempena musim cuti persekolahan yang bermula 14 Mac lalu.

Menurut Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata terdapat kementerian memberi kelulusan kepada 8,000 kakitangannya untuk bercuti di luar negara ketika itu.

Bagaimanapun, beliau tidak mendedahkan nama kementerian berkenaan.

“Ramai antara warga Malaysia yang melancong ke luar negara pada musim persekolahan.

“Saya dimaklumkan terdapat sebanyak 8,000 warga kementerian yang diluluskan atau telah membeli tiket dan sebagainya untuk melancong ke Jepun, Korea Selatan dan sebagainya,” katanya pada sidang media harian KKM pada Jumaat.

Beliau menyifatkan tindakan kumpulan tersebut mampu meningkatkan risiko jangkitan kes COVID-19 apabila mereka pulang.

Kerajaan bimbang bahawa ia akan mencetuskan gelombang jangkitan COVID-19 ketiga di negara ini.


“Walaupun pada masa itu, kami sudah mengenal pasti negara China, Jepun, Korea Selatan, Itali dan Iran ialah negara-negara yang ada sekatan dan berisiko tinggi.

“Kalau hanya ambil kira satu kementerian sahaja terdapat 8,000 orang. Katakan mereka pergi dengan keluarga mereka, mungkin terdapt empat orang satu keluarga. Jumlahnya ialah 32,000 orang.

“Jadi kami risau apabila mereka kembali ke Malaysia, terdapat kemungkinan akan mendapat kes import yang mendadak (exponential spike),” katanya.

Tambahnya, KKM tidak mempunyai kemampuan untuk menguarantinkan 32,000 orang.

“Jika ia melibatkan lebih ramai orang, kami tidak ada tempat untuk mengasingkan mereka di tempat kuarantin.

“Jadi langkah yang terbaik adalah untuk melakukan Perintah Kawalan Pergerakan,” ujarnya..

Dalam perkembangan lain, Dr Noor Hisham mengesahkan terdapat empat lagi kes kematian akibat COVID-19, menjadikan jumlah kumulatif kes kematian di Malaysia sebanyak 26 kes.

Katanya, setakat 12 tengah hari Jumaat, terdapat 130 kes positif baharu dan ia menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di negara ini sebanyak 2,161 kes.