Seorang abang maut dilanggar dengan kereta oleh adiknya di Kampung Haji Bunga, Mukim Air Puteh, Pendang, Kedah, pada Khamis malam.

Dalam kejadian yang berlaku pukul 8.30 malam itu mangsa Mohammad Zaki Abd Shukor, 45, ketika itu sedang berdiri di hadapan rumah.

Menurut adik Allahyarham, Mohd Sofil Hakimi Abd Shukor, 30, sebelum kejadian, mangsa dikatakan naik berang dan mengamuk menggunakan sebilah parang semata-mata kerana mahu meminta wang daripada ibunya.

Akibat takut dengan tindakan Allahyarham Mohammad Zaki itu, ibu dan adik perempuan mangsa yang berada di rumah ketika itu mengurungkan diri di dalam sebuah bilik.

Difahamkan, adik perempuan Allahyarham kemudian membuka pintu dan ibunya memberikan wang sebanyak RM50 kepada mangsa sebelum mangsa beredar.

Tidak lama kemudian, ibu mangsa menghubungi seorang lagi anak lelakinya yang berusia 33 tahun yang juga suspek memberitahunya mengenai pebuatan abangnya mengamuk di rumah.

Suspek yang baru tiba di rumah dan masih berada dalam kereta dikatakan panik sebaik ternampak mangsa yang sedang berdiri memegang sebilah parang.

Terkejut melihat reaksi Mohammad Zaki seakan mahu menyerangnya, suspek lantas menekan pedal minyak kereta jenis Proton Saga FLX yang dipandunya dan meluru ke arah mangsa.

"Kereta yang dipandu suspek terlanggar tiang dan sebuah motosikal sebelum melanggar mangsa," kata Mohd Sofil Hakimi kepada wartawan ketika ditemui di kediaman keluarga mereka di Pendang, di sini pada Jumaat.

Tidak cukup dengan melanggar abangnya, suspek kemudiannya mengundurkan pula kereta yang dipandunya itu.

Dalam keadaan panik, suspek memandu menuju ke pejabat Jabatan Pertahanan Awam untuk mendapatkan bantuan.

Bagaimanapun, sebaik anggota Angkatan Pertahanan Malaysia tiba, mangsa yang berada dalam keadaan terbaring sudah meninggal dunia.

Mangsa yang maut di tempat kejadian telah dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar untuk bedah siasat dan dikebumikan selepas solat Asar pada Jumaat.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pendang, Deputi Superintendan Arriz Sham Hamezah berkata, suspek telah ditahan sebaik hadir ke Balai Polis Daerah Pendang untuk memberi keterangan.

Suspek, kata beliau, direman tujuh hari bermula hari ini untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.