Bekas Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Abdul Ghani Salleh dilantik sebagai Pengerusi SPR yang baharu berkuatkuasa hari ini (21 Ogos).

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali dalam satu kenyataan berkata, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah memperkenankan pelantikan Abdul Ghani.

Menurut beliau, pelantikan itu mengikut Fasal (1) Perkara 114 Perlembagaan Persekutuan bermula hari ini sehingga usianya mencapai 66 tahun selaras dengan Fasal (3) Perkara 114 Perlembagaan Persekutuan.

Sementara itu, Mohd Zuki turut memaklumkan, bekas Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan), Kementerian Pengajian Tinggi, Datuk Nik Ali Mat Yunus pula dilantik sebagai Ahli SPR berkuat kuasa tarikh yang sama.

BACA: Azhar Harun letak jawatan Pengerusi SPR 29 Jun lalu

BACA: Ramlan Ibrahim letak jawatan sebagai Ahli SPR

“Dengan kelayakan dan pengalaman yang dimiliki, diyakini mereka akan dapat menggalas amanah dan tanggungjawab sebagai Pengerusi dan Ahli SPR mengikut kehendak Perlembagaan Persekutuan dengan sempurna.

“Kerajaan ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Datuk Azhar Azizan Harun dan Datuk Seri Ramlan Ibrahim atas khidmat bakti sepanjang menjawat jawatan masing-masing sebagai Pengerusi dan Ahli SPR,” kata Mohd Zuki dalam kenyataan tersebut.

Abdul Ghani yang dilahirkan pada 10 Mei 1958 di Kuala Kurau, Perak berkelulusan Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Pengurusan dan Pemasaran daripada Universiti Kebangsaan Malaysia.

Beliau pernah memegang beberapa jawatan antaranya Yang di-Pertua Majlis Daerah Kuala Langat, Pengarah Jabatan Perancangan Korporat dan Pembangunan Masyarakat, Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) dan Pegawai Daerah Gombak, Selangor.


Jawatan terakhir beliau sebelum bersara wajib pada 10 Mei 2018 adalah sebagai Setiausaha SPR.

Dalam pada itu, Nik Ali pula dilahirkan pada 19 Mei 1958 di Kelantan, berkelulusan Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Pengajian Asia Tenggara daripada Universiti Malaya pada tahun 1981 dan Ijazah Sarjana daripada University of Hull, United Kingdom pada tahun 1991.

Beliau pernah memegang beberapa jawatan antaranya sebagai Penolong Pengarah di Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Pengerusi Eksekutif, Suruhanjaya Koperasi Malaysia dan Pengarah, Unit Pemulihan Pasca Banjir, Jabatan Perdana Menteri.

Jawatan terakhir beliau sebelum bersara wajib pada 19 Mei 2018 adalah sebagai Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan), Kementerian Pengajian Tinggi.

BACA: Bersih 2.0 kecam tindakan gesa Azhar letak jawatan Pengerusi SPR

BACA: Azhar Azizan Harun YDP Dewan Rakyat baharu, angkat sumpah dalam suasana 'gempita'

BACA: Mohamad Ariff akur digugurkan sebagai Speaker Dewan Rakyat

Astro AWANI pada 9 Julai lalu melaporkan, SPR mengesahkan Pengerusinya, Datuk Azhar Azizan Harun telah meletak jawatan berkuasa-kuasa pada 29 Jun lalu.

Menurut SPR, peletakan jawatan tersebut telah diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong melalui surat Istana Negara bertarikh 30 Jun.

Azhar dilantik sebagai Pengerusi SPR bagi menggantikan Tan Sri Mohd Hashim Abdullah yang tamat tempoh perkhidmatan pada 1 Julai 2018.