Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Najib Tun Razak mengakui berlaku salah faham kalangan parti komponen BN berhubung usul Rang Undang-undang (RUU) Persendirian yang dibentangkan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang semalam.

Jelasnya, pindaan berkenaan bukan merupakan undang-undang Hudud.

"Kita sudah beritahu rakan-rakan kita dalam Barisan Nasional bahawa pertama ada salah faham yang besar bahawa bila Abdul Hadi bawa usul RUU Persendirian itu, mereka pandang bahawa beliau bawa undang-undang Hudud," katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO di sini hari ini.


BACA: MCA bantah apa jua RUU berkaitan hudud di Malaysia - Liow

Ujarnya, peribadi Abdul Hadi Awang yang sentiasa dikaitkan dengan Hudud menyebabkan ramai yang cuba membangkitkan isu berkenaan.

"Jadi labelling (melabel) dan kaitan dengan Abdul Hadi itu terlalu rapat dengan soal Hudud. Jadi bila dia bangkit kira automatik (dirasakan) Hudud. Jadi ini saya hendak terangkan bahawa pindaan tersebut tidak merupakan undang-undang Hudud," jelasnya.

Selain itu katanya, ia melibatkan usaha meningkatkan hukuman daripada enam kali rotan kepada beberapa kali tertakluk kepada kesalahan tertentu.

"Ini dalam bidang kuasa mahkamah syariah dan melibatkan hanya orang Islam sahaja tidak ada kena mengena dengan orang bukan Islam. Cara sebatan dalam Islam juga tidak sampai hingga mencederakan atau melukakan kerana kaedah digunakan adalah terbatas," tambahnya.

Bagaimanapun katanya, BN terikat dengan konsensus parti sebelum sebarang pindaan undang-undang dibuat.

"Perkara ini bukan begitu mudah nak dilaksanakan sebab ia memerlukan kebenaran daripada kelulusan Majlis Agama Islam Negeri, Majlis Raja-Raja dan pindaan undang-undang oleh parlimen. Kalau hendak pinda undang-undang, kita terikat dengan konsensus BN," ujar beliau lagi.

Justeru katanya, prinsip berkenaan diguna pakai BN dengan memikirkan soal kepentingan negara secara keseluruhannya.

Pada Khamis, Abdul Hadi Awang membentangkan Usul Rang Undang-Undang Persendirian iaitu Rang Undang-Undang Mahkamah (Syariah Bidang Kuasa Jenayah)(Pindaan) 2016 di Dewan Rakyat.

Usul itu dibentangkan untuk meminda Seksyen 2 bagi menggantikan peruntukan dalam undang-undang sedia ada.