Ahli misi 'Right to A Just Future for Palestine' ke Gaza yang ditahan pihak berkuasa Israel berdepan layanan teruk, menurut satu kenyataan daripada Ketua Pegawai Eksekutif Humanitarian Care Malaysia (MyCARE) Kamarul Zaman Shaharul Anwar.

Menurut ketua kapal Al-Awda, Zohar Chamberlain Regev, pihak Israel melakukan kekerasan kepada ahli misi ketika penahanan dengan menggunakan senjata renjatan elektrik dan menembak beberapa ahli misi.

Tambah beliau, berlaku insiden pendarahan apabila Israel memukul beberapa ahli misi yang tidak mahu memberi kerjasama terhadap mereka ketika diminta untuk menghidupkan enjin kapal.

Terbaru, dua lagi ahli misi kapal Al-Awda telah dibebaskan. Mereka adalah wartawan Al-Jazeera, Merouane Metidji dan Abdelmounim El Amrani.

Wakil tunggal Malaysia di atas kapal tersebut, Prof Madya Dr Mohd Afandi Salleh, masih ditahan di penjara Givon, Israel. Beliau akan dibebaskan dalam masa beberapa hari lagi.

Kapal Al-Awda serta dua buah kapal kecil, Huriyyah dan Falastine, meninggalkan pelabuhan Messina, Sicily di Itali untuk meneruskan misi tersebut kira-kira jam 4 petang (waktu Malaysia) pada 22 Julai lalu.

Pelayaran bermula pada 22 Mei lalu di Copenhagen, Denmark dan telah melalui 28 pelabuhan di pelbagai lokasi serta peserta bersilih ganti menaiki kapal di lokasi berbeza dan telah melalui 5,794 batu nautika sejak mula pelayaran.

Kapal tersebut turut membawa bekalan perubatan bernilai RM61,000 untuk rakyat Palestin di Gaza.

Antara aktivis lain yang berada di atas kapal tersebut termasuk ahli politik Norway, Mikkel Gruner; doktor pakar ortopedik United Kingdom, Dr Ang Swee Chai serta bekas atlet Norway, Prof Gerd Von der Lippe.

Terdahulu, dua orang dari ahli misi kapal Al-Awda telah dibebaskan. Mereka adalah ketua kapal Al-Awda, Zohar Chamberlain Regev, bekas kapten tentera udara Israel, Yonathan Shapira. Mereka adalah warga Israel.

BACA: Dua aktivis dari kapal Al-Awda dibebaskan

BACA: Malaysia bimbang keselamatan mereka atas kapal Freedom Flotilla