Tutup

Ahli PKR sabotaj kongres akan dipecat - Anwar

Ahli PKR sabotaj kongres akan dipecat - Anwar
Tindakan sabotaj oleh ahli dan pemimpin terhadap kongres parti merupakan kesalahan yang besar, tegas Anwar Ibrahim. - Gambar BERNAMA
KUALA LUMPUR: Mana-mana ahli atau pemimpin PKR yang menghadiri perhimpunan selain Kongress Nasional parti itu di Melaka bakal berdepan tindakan tegas termasuk dipecat dari parti.

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, tindakan sabotaj oleh ahli dan pemimpin terhadap kongres parti adalah merupakan kesalahan yang besar.

Menurut Anwar, kongres selama tiga hari itu diadakan bertujuan memperkukuhkan PKR demi agenda rakyat.

“Kalau ada cubaan merosakkan semangat perpaduan oleh mana-mana pimpinan, tindakan tegas akan diambil termasuk pemecatan kerana sabotaj kongres ini adalah kesalahan yang besar.
“Setakat ini ada percubaan kecil (sabotaj kongres). Sejak tiga hari lalu, 83 peratus perwakilan sudah berjanji akan hadir di (kongres) di Melaka hujung minggu ini. Jika ada yang cuba buat kongres lain, (mereka) akan dipecat,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen hari ini.

BACA: Kongres Nasional PKR jadi tumpuan, medan selesai 'kemelut'
Sebelum ini, dilaporkan kumpulan dikaitkan dengan Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali merancang mengadakan satu himpunan di sebuah hotel di ibu negara pada Sabtu dan Ahad ini, tarikh sama Kongres Nasional PKR yang akan berlangsung di Melaka.

Bagaimanapun, kemelut yang melanda parti itu terlerai apabila Azmin menghadiri mesyuarat khas Biro Politik PKR di Parlimen semalam sekali gus mengadakan pertemuan dengan Anwar.

Hasil mesyuarat itu, Azmin akan merasmikan kongres Angkatan Muda Keadilan dan Wanita PKR manakala Pengerusi Majlis Penasihat PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail akan merasmikan penutup kedua-dua sayap parti itu.

Mengulas mengenai pertemuannya dengan Azmin, Anwar menjelaskan ia berlangsung dalam suasana yang baik dan positif.

“Azmin ada kemukakan pandangan dan kita merasakan perlu kongres ini memberi ruang kepada perwakilan mendengar semua (ucapan) pimpinan,” katanya.

Beliau menjelaskan tumpuan diberikan untuk memperkukuhkan PKR dan mengutamakan keluhan rakyat.


Tag: PKR, Parti Keadilan Rakyat, pecat ahli yang sabotaj, Anwar Ibrahim, Presiden PKR



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.