'Tunggu!'

Itu amaran Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Dzulkifli Ahmad apabila ditanyakan mengenai sama ada tindakan akan diambil ke atas ahli-ahli politik yang terlibat rasuah.

"Tiada pada bila-bila masa sepanjang perkhidmatan di mana saya menyatakan bahawa tindakan tidak akan diambil terhadap ahli politik"

"Malam ini, saya menyatakan dengan tegas kepada ahli politik yang korup, saya hanya mempunyai satu perkataan sahaja - tunggu!" kata Zuklifli di Hari Ini 8.

BACA: Rasuah: TI-M yakin SPRM akan ketuk 'pintu rumah' ahli politik

Tambah beliau, yang menggalas tugas sebagai Ketua SPRM Ogos lalu, badan penguatkuasa pencegah rasuah tersebut akan kekal dengan janji untuk melakukan penangkapan dan pendakwaan terhadap individu yang terlibat dalam rasuah setiap minggu.

"Saya telah menyatakan bahawa SPRM akan mengambil tindakan memfailkan tuduhan atau membuat tangkapan pada setiap minggu sehinggalah akhir tahun 2017"

"Ini janji saya dan sehingga kini, saya telah kotakan janji tersebut," jelasnya.



Sepanjang tahun lepas, SPRM itu telah menahan 932 individu kerana terbabit salah laku rasuah.

Daripada jumlah itu, SPRM telah membuka 982 kertas siasatan dan 258 daripadanya dibawa ke mahkamah setakat 15 Disember lepas.

"Rakyat harus berlaku adil kepada saya kerana saya baru menerajui SPRM dalam tempoh tidak lebih enam bulan."

"Tapi kami telah ambil tindakan ke atas Tan Sri, Datuk Seri, Datuk dan pelbagai golongan masyarakat lain yang terlibat dalam rasuah," katanya.

Tambahnya, SPRM akan memerangi kegiatan rasuah secara habis-habisan.

"Yang pasti, kita tidak akan melepaskan sesiapa yang terlibat - tidak kira pangkat atau kedudukan, sama ada ahli politik, ahli perniagaan atau ahli GLC (syarikat berkaitan kerajaan) mahupun penjawat awam di Malaysia ini," tegasnya.