Keputusan kerajaan negeri untuk memberikan 10 meter padu air percuma dengan perbelanjaan RM25 juta setahun tidak memberi kesan kepada golongan sasar tetapi sebaliknya hanya akan menguntungkan syarikat air yang dimiliki pihak swasta.

Ketua Pembangkang Johor Datuk Ir Hasni Mohammad berkata kerajaan negeri sepatutnya membuat kajian terlebih dahulu berhubung perkara itu biar pun mahu menunaikan janji yang dibuat Pakatan Harapan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Hasni yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benut berkata menerusi pemberian 10 meter padu air percuma itu kerajaan negeri akan hilang akan RM25 juta setahun, satu jumlah hasil yang besar bagi sesebuah negeri.

"Yang Amat Berhormat Menteri Besar perlulah memahami dan mendapat gambaran daripada syarikat air Johor terlebih dahulu berkaitan cara penetapan kadar air yang dikenakan selain perlu berpuas hati dengan kos rawatan air yang dikenakan SAJ Ranhill berpatutan atau tidak.

"Dengan membayar SAJ Ranhill sebanyak RM25 juta setahun, ditambah dengan kenaikan tarif air yang dijangka dilaksanakan pada tahun 2019, maka jelas rakyat akan terus diperbodohkan," katanya dalam kenyataan di sini pada Jumaat.

Hasni berkata daripada membuat keputusan pemberian air percuma itu, kerajaan negeri sepatutnya berusaha memperoleh kuasa dan suara yang lebih dalam syarikat SAJ Ranhill kerana dengan langkah itu, maka perancangan untuk menjaga kepentingan rakyat menjadi lebih berkesan dan bermanfaat.

Semalam, Menteri Besar Datuk Osman Sapian mengumumkan pemberian air percuma kepada sejumlah isi rumah berpendapatan rendah di negeri ini, akan dilaksanakan bermula awal September depan.

BACA: Kerajaan Johor bagi air percuma bermula September

Osman berkata pelaksanaannya yang melibatkan perbelanjaan RM25 juta setahun itu sudah diluluskan dalam mesyuarat Exco kerajaan negeri, dua hari lepas (Rabu) dan menerusi semakan, dianggarkan kira-kira 395,000 rakyat Johor layak menerima pemberian air percuma berkenaan yang bernilai RM10.

Dalam manifesto PRU14 lepas, Pakatan Harapan Johor berjanji memberi 10 meter padu air percuma kepada golongan B40 selain akan memastikan rakyat menikmati bekalan air berkualiti tanpa gangguan.

--BERNAMA