Kementerian Kesihatan akan menyelaras harga ubat di Malaysia menerusi Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

Kata menterinya Datuk Seri Dr Zulkefly Ahmad, kertas cadangan bagi mekanisme menggunakan peruntukan undang-undang di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) kini di peringkat awal

“Mekanisme kawalan yang dicadangkan adalah harga jualan siling kepada pengguna di semua saluran pendispenan dilihat paling sesuai untuk dilaksanakan dan selari dengan amalan antarabangsa,” katanya dalam Sidang Dewan Rakyat hari ini.

Menteri itu berkata demikian menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Klang Charles Santiago.

Ahli Parlimen Pakatan Harapan itu meminta menteri menyatakan langkah yang diambil kerajaan untuk menyelaraskan harga ubat di Malaysia.

Justeru, beliau berharap akta tersebut membolehkan penetapan siling ubat dibuat sekali gus menyelaraskan harga ubat di semua tempat.

“Kita akui harga ubat di klinik atau hospital swasta memang ada kecenderungan dikenakan caj ubat yang mahal.

“Tapi dengan adanya akta ini, Kementerian Kesihatan dan KPDNHEP dapat memastikan kawalan harga berdasarkan praktis terbaik," jelasnya.

Pada masa sama, Dr Zulkefly berkata kerajaan sentiasa menggalakkan usaha untuk menggunakan ubat generik tempatan.

“Perolehan ubatan KKM adalah dilaksanakan secara tender terbuka dan pelantikan syarikat konsesi berpandukan kepada undang-undang dan peraturan perolehan kerajaan," katanya.

Menurutnya, pada pada tahun 2017, peratusan perolehan ubat generik berbanding ubat innovator (pengeluar asli) adalah sebanyak 53.6 peratus,dengan nilai perolehan RM1,311.8 juta.

Daripada peratusan itu pula, sebanyak 50.3 peratus adalah merupakan ubat generik buatan tempatan.