Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan memperkenalkan undang-undang baharu mengenai penggunaan rokok elektronik, vape dan shisha bagi menangani segala permasalahan yang timbul, seperti penularannya di kalangan pelajar sekolah.

Undang-undang itu yang dinamakan Akta Tembakau kini dalam penelitian penasihat undang-undang Kementerian Kesihatan sebelum diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara untuk tindakan selanjutnya.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, kementerian prihatin mengenai kebimbangan masyarakat, khususnya ibu bapa mengenai penularan penggunaan rokok elektronik di kalangan pelajar sekolah.

“Sebenarnya kita sedang merangka dan bakal kita bentangkan dalam waktu terdekat apa yang kita istilahkan sebagai Akta Tembakau, yang akan dapat mengambil dan menggarap keseluruhan permasalahan itu, yang sekarang, hari ini, ia (undang-undang) agak terhad.

“Kita nak buat suatu (undang-undang) yang bersifat menyeluruh. Akta Tembakau namanya, yang pada saat ini dalam pemerhatian Penasihat Undang-Undang KKM, dan bakal kita bentangkan dan majukan kepada Pejabat Peguam Negara dalam waktu yang terdekat,” katanya.

BACA: Vape, shisha tidak termasuk dalam peraturan larangan merokok

BACA: Rang undang-undang baharu kawal penggunaan vape dijangka dibentang hujung tahun ini

Beliau ditemui selepas merasmikan konvensyen Communication For Behavioral Impact (COMBI) sempena Hari Denggi ASEAN dan Anugerah Institusi Pengajian Tinggi (IPT) Bebas Denggi peringkat kebangsaan di sini hari ini.

Sebelum ini, Naib Pengerusi Kanan, Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Tan Sri Lee Lam Thye mencadangkan suatu rang undang-undang (RUU) baharu berkaitan kawalan pengunaan rokok elektronik atau vape dan shisha dapat dibentang di parlimen secepat mungkin bagi menangani masalah itu.

BACA: KPDNHEP Johor rampas gula-gula 'Ghost Smoke' dari syarikat pemborong

BACA: Tindakan tegas jika gula-gula 'ghost smoke' ada nikotin

Katanya, ia juga harus mengambil kira bahan-bahan yang mempunyai pengaruh yang sama termasuk ‘ghost smoke’ atau pelbagai jenis peralatan atau gula-gula yang mungkin bakal diperkenalkan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab.

Dalam hubungan itu, Dzulkefly berkata, Kementerian Kesihatan telah pun membuat ujian terhadap sampel 'ghost smoke' yang diambil dan dijangka mengumumkan hasilnya minggu hadapan.

BACA: Anak kecil pandai buat 'O'

BACA: Rokok elektronik bawah Akta Kawalan Tembakau, berita baik buat pengusaha?