Selepas keputusan peperiksaan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3), kebanyakan pelajar didakwa mengalami masalah apabila diminta membuat pilihan untuk mengambil aliran semasa menyambung pelajaran ke Tingkatan 4.

Hal ini kerana ada pelajar yang bijak dalam subjek Matematik dan Sains tetapi lebih selesa dan mempunyai minat mendalam dalam subjek Kesusasteraan.

Ada juga yang ingin mengambil aliran Kesusasteraan dan Kesenian, namun berminat dalam subjek Kimia.

Bagaimanapun, pemilihan subjek daripada kedua-dua aliran masih belum dibenarkan.

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik pada Jumaat lalu mendedahkan aliran Sains dan Sastera di peringkat sekolah menengah di seluruh Malaysia bakal digabungkan.

Idea dan usaha tersebut dicadangkan oleh Jawantankuasa Kajian Dasar Pendidikan Negara (JKD) terhadap Polisi Pendidikan Kebangsaan sebagai cadangan penambahbaikan sistem persekolahan di Malaysia.

BACA: Jawatankuasa Kajian Dasar Pendidikan Negara terima lebih 5,000 maklum balas

Menerusi kurikulum baharu yang akan dilaksanakan, kepentingan Sains dan Sastera akan diberikan penekanan dan tidak boleh diasingkan, sebaliknya perlu disatukan.

Keutamaan guru juga akan dialihkan supaya menjadi lebih menyeluruh bagi memberi tumpuan kepada pengajaran STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik) akan dikemas kini kepada STREAM termasuk komponen Seni dan Membaca.

Persoalannya, mampukah idea ini direalisasikan dan adakah Malaysia bersedia untuk perubahan ini?

Presiden Persatuan Pendidikan Malaysia, Profesor Emeritus Datuk Ibrahim Ahmad Bajunid berkata kini tiba masanya untuk mengetepikan sistem pendidikan yang hanya memberi fokus kepada kelulusan peperiksaan bagi golongan elit dan memberikan peluang sama rata kepada semua pelajar, tidak kira aliran.

“Di Britain dahulu, aliran sekolah dibahagikan kepada sekolah akademik dan sekolah komprehensif. Kebanyakan sekolah yang dianggap komprehensif ini meluaskan jurusan.

“Begitu juga di Amerika Syarikat. Walaupun seseorang itu mengikuti program muzik, dia juga boleh memilih kerjaya seperti saintis ataupun angkasawan.

“Namun begitu, sistem di Malaysia yang elita daripada awal sekolah menengah sudah menentukan bahawa hanya mereka yang tergolong dalam jurusan Sains boleh mempunyai pelbagai kerjaya manakala mereka dalam bidang Sastera ‘dihukum sepanjang hayat’,” kata Ibrahim ketika dihubungi Astro AWANI pada Selasa.


Tambahnya, penyatuan kedua-dua aliran ini bukan sahaja mampu diadaptasi di negara ini malah mampu membangunkan dan membenarkan pertumbuhan setiap pelajar.

“Tanpa pemilihan aliran awal-awal lagi, pelajar masih berpeluang untuk mempelajari khazanah ilmu yang dianggap penting.

“Jadi, sistem pembelajaran tanpa urusan ini membenarkan pembangunan dan pertumbuhan setiap insan,” tambahnya.


Perubahan sistem pendidikan menengah ini akan memberikan nilai tambah kepada kualiti modal insan dan ia akan mejadikan sistem pendidikan negara ini sebagai antara yang terbaik di dunia.

“Jika cadangan ini diterima dan dilaksanakan dengan betul, sistem Malaysia akan menjadi antara terbaik di dunia.

“Bukan dari segi membanding keputusan peperiksaan tetapi dari segi ilmu watan dan falsafah watan kita sendiri.

“Ia juga dapat mengubah pemikiran dan paradigma masyarakat terhadap penghargaan ilmu yang bukan sahaja untuk peperiksaan tertentu, tetapi ilmu yang merupakan khazanah kita semua,” katanya.


Jika penyatuan aliran sains dan sastera ini dilaksanakan, adakah anda bersedia?

Kongsikan pendapat anda di bahagian komen di bawah!