announcement
NOTIS
Beralih ke pengalaman baharu laman web Astro AWANI. Klik di sini!

Ambil peluang PKP untuk perbanyak amalan dan ibadah Ramadan - Sultan Selangor

Ambil peluang PKP untuk perbanyak amalan dan ibadah Ramadan - Sultan Selangor
SULTAN SHARAFUDDIN: Beta menyeru seluruh rakyat untuk bersama-sama bersatu demi memastikan rantaian jangkitan wabak COVID-19 dapat diputuskan, dengan mempraktikkan penjarakan sosial dan duduk di rumah. - Gambar fail
SHAH ALAM: Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah, supaya umat Islam mengambil peluang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dalam bulan Ramadan, untuk memperbanyakkan amalan terpuji dan ibadah, termasuk bersolat tarawih di rumah.

Titah baginda, sempena bulan yang mulia ini juga, umat Islam diseru mengimarahkannya dengan menambah ilmu pengetahuan dengan membaca buku sejarah peradaban Islam, supaya dapat mempelajari dan meneladani kisahnya, bagi menjadi masyarakat lebih berilmu ketika berdepan krisis atau masalah.

"Walaupun seluruh rakyat Selangor kini diduga dengan penularan wabak COVID-19, beta mendoakan agar umat Islam di negeri ini dapat menjalani ibadah puasa dengan sempurna dan penuh kesabaran.

"Beta juga menyeru seluruh rakyat untuk bersama-sama bersatu demi memastikan rantaian jangkitan wabak COVID-19 dapat diputuskan, dengan mempraktikkan penjarakan sosial dan duduk di rumah.

"Patuhilah segala garis panduan, nasihat dan arahan yang dikeluarkan oleh Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia," titah baginda dalam perutusan sempena kedatangan bulan Ramadan 1441 hijrah, malam Khamis.

BACA: Sultan Kelantan dukacita tidak dapat berbuka, solat tarawih bersama rakyat

BACA: Sultan Nazrin minta pemimpin tunjuk contoh terbaik pematuhan PKP

Baginda turut mengajak umat Islam untuk berdoa, supaya wabak COVID-19 yang sedang menular ketika ini segera berakhir dan mengharapkan seluruh rakyat khususnya di Selangor dan seluruh dunia, terselamat daripada dijangkiti virus berkenaan serta dijauhi bencana.

Pada masa sama juga, Sultan Sharafuddin dan Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin mengucapkan selamat menyambut bulan Ramadan dan selamat menunaikan ibadah puasa, kepada seluruh umat Islam.

-- BERNAMA