Menteri Besar Selangor yang baharu, Amirudin Shari memulakan tugasnya secara rasmi hari ini.

Beliau tiba di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri di sini kira-kira jam 7.50 pagi sebelum mengetik kad perakam waktu pertamanya sebagai Menteri Besar.

Ketibaan Amirudin, yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Tua, disambut beberapa Exco Kerajaan serta Ketua Jabatan Negeri termasuk Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd Amin Ahmad Ahya.


Amirudin Shari ketika melaporkan diri hari pertama sebagai Menteri Besar Selangor di Bangunan SUK Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah hari ini. - Astro AWANI/Shahir Omar


Amirudin kemudiannya beramah mesra dengan beberapa Exco berkenaan di pejabatnya dan dijadualkan mendengar beberapa taklimat daripada pegawai kanan kerajaan negeri.


Amirudin Shari beramah mesra bersama Exco dan Majlis Penasihat Kerajaan Negeri Selangor selepas melaporkan diri hari pertama sebagai Menteri Besar Selangor. - Astro AWANI/Shahir Omar


Pada sebelah petang, Amirudin dijadual mengunjungi Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Semalam, Amirudin, 38 tahun, mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Selangor di hadapan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah di Istana Alam Shah, Klang.

BACA: Akhirnya terjawab, Amirudin Menteri Besar Selangor baharu

VIDEO: Sidang media Menteri Besar Selangor baharu

Beliau menggantikan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang dilantik sebagai Menteri Hal Ehwal Ekonomi dalam Kerajaan Persekutuan.

Sebelum ini, Amirudin merupakan Exco Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pemberdayaan Generasi Muda dan Sukan, Pembangunan Usahawan, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi.

-- BERNAMA