Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas, Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menahan seorang lelaki warga Sri Lanka yang disyaki merupakan seorang anggota kanan kumpulan pengganas Liberation Tigers of Tamil (LTTE) selepas menjalankan satu operasi khas sejak 7 Ogos lalu.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, suspek yang berusia 37 tahun telah menjadikan Malaysia sebagai tempat persembunyian untuk mencari dana bagi menghidupkan kembali perjuangan kumpulan pengganas itu.

"Suspek telah memasuki ke negara ini pada Disember 2012 dengan menggunakan pas lawatan sosial.

"Siasatan awal mendapati suspek telah menjadikan Malaysia sebagai tempat persembunyian. Suspek juga terlibat dalam aktiviti memeras ugut warganegara Sri Lanka di Malaysia untuk mendapatkan dana bagi menghidupkan kembali perjuangan pengganas LTTE di Sri Lanka.

"Hasil soal siasat, suspek juga mengaku pernah terlibat dalam sindiket pemalsuan kad kredit di Malaysia yang didalangi beberapa warganegara asing," kata Khalid dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Jelas Khalid lagi, suspek ditangkap di bawah Seskyen 15(1) (c) Akta Imigresen 1959/63 kerana menetap di Malaysia melebihi tempoh pas lawatan yang dibenarkan.

"Suspek telah diusir ke negara asal pada 14 Ogos untuk tindakan susulan pihak berkuasa Sri Lanka," kata Khalid.

Sebelum ini, polis dilaporkan telah menahan empat lagi warganegara asing yang disyaki terlibat dalam aktiviti keganasan itu di beberapa lokasi sekitar Kuala Lumpur serta Selangor pada 4 Julai lalu.

Pada 25 Mei, polis dilaporkan telah menahan tiga warganegara asing yang disyaki berusaha untuk mengaktifkan kembali aktiviti kumpulan LTTE itu khususnya di peringkat antarabangsa.

Khalid berkata polis turut merampas bahan propaganda kumpulan LTTE, peralatan media dan mata wang asing dari 24 negara bernilai RM20,176.53.

LTTE yang juga dikenali sebagai Tamil Tigers, adalah sebuah kumpulan militan yang berpangkalan di utara Sri Lanka sebelum tsunami di Lautan Hindi pada 2004 mencacatkan operasi mereka.

Ketika kemuncak kuasa mereka, Tamil Tigers merupakan militia yang cekap, berkuasa dan dibiayai dengan elok. Mereka bertempur dengan tentera Sri Lanka sehingga kedua-dua pihak bersetuju mengadakan gencatan senjata dan kaum Tamil berjaya menguasai tanah air mereka.

Gempa bumi dan tsunami di Lautan Hindi pada 26 Disember tahun itu, antara bencana alam yang paling dasyat dalam sejarah, telah mencacatkan kuasa Tamil Tigers apabila depoh senjata dan tanaman yang menjadi punca ekonomi mereka musnah.