"Arwah beritahu yang dia mimpi mati lemas, saya tidak sangka rupanya ia betul-betul menjadi kenyataan."

Itu yang sempat diceritakan Mohamad Azim Mohd Zamri, rakan kepada Mohd Razlan Sabarudin, 15, yang maut selepas lemas di Pusat Peranginan Air Terjun Puncak Janing dekat Padang Terap, Kedah.

Mohamad Azim, 16, berkata arwah bermimpi pagi tadi dan berkata itu hanya mainan tidur sebelum tiba di kawasan perkelahan itu untuk memancing pada kira-kira jam 8.45 pagi.

Ketika kejadian, mereka berdua pergi ke kawasan tersebut bersama seorang lagi rakan, Zafran Zamri, 14.

Mangsa yang juga pelajar tingkatan 3 di Sekolah Menengah Dato Syed Ahmad, Kuala Nerang dikatakan bermimpi mati lemas sebelum terjaga dari tidur.

Mohamad Azim berkata, kejadian itu berlaku kira-kira jam 9.45 pagi ketika mangsa datang semula ke tempat dua rakannya memancing di kolam air terjun berkenaan.

Katanya, mereka pergi ke tempat tersebut dengan menunggang dua motosikal dan sebaik sampai di sana mereka berpecah untuk memancing ikan.

Malah Mohamad Azim turut berpesan kepada rakannya itu supaya tidak mandi di situ kerana airnya dalam.

Tetapi, sebaik Mohamad Azim sampai semula di tempat kejadian, dia ternampak Zafran dan Mohd Razlan tenggelam timbul namun hanya sempat menyelamatkan Zafran dengan menarik tangannya ke tebing.

Mohamad Azim berkata, dia tidak berani hendak terjun untuk selamatkan Mohd Razlan kerana ketika itu mangsa sudah ke tengah dan berada di tempat yang dalam.

Dia kemudiannya menjerit memanggil nama Mohd Razlan berkali-kali namun mangsa tidak memberi apa-apa respon.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Padang Terap, Deputi Superintendan Noh Idris mengesahkan kejadian itu dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Kuala Nerang untuk tindakan lanjut manakala rakan mereka, Zafran kini dirawat di hospital sama.