Anak kepada seorang anggota polis yang terkorban dalam kemalangan di KM 183 Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT1) dekat Gambang di sini pada petang Selasa, tidak menyangka perbualan dengan ayahnya sebelum Subuh menjadi perbualan terakhir mereka dua beranak.

Khairul Nizam Roslan, 24, anak kedua Allahyarham Sarjan Mejar Roslan Maon, 50, berkata ketika itu baru sahaja 4 pagi menyebabkan dia hairan mengapa ayahnya bersiap terlalu awal untuk pergi bekerja.

"Ayah ketika itu maklumkan dia perlu keluar awal kerana perlu sampai ke Bentong sebelum 6 pagi disebabkan tugasan mengiring kertas soalan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

"Bagaimanapun, ketika 4 petang tadi, adik beritahu ada seorang anggota polis menelefon dan memberitahu ayah sudah tiada selepas terlibat dengan kemalangan jalan raya," katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Jengka, di sini malam tadi.

Menurutnya, dia merasakan perkara itu seolah-olah seperti mimpi kerana baru sahaja berbual pada paginya dengan ayahnya, namun reda dengan kejadian berkenaan.

Khairul Nizam yang masih belajar Universiti Malaysia Pahang kampus Gambang berkata jenazah dijangka dibawa pulang ke kediaman mereka di Kuantan sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Setali, Kuantan, pagi ini.

BACA: Buruh ditahan, hina polis maut kemalangan LPT

Allahyarham Roslan yang bertugas di Cawangan Gerakan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang maut bersama rakan setugasnya Konstabel Watson Anak Edin, 23, setelah terlibat dalam kemalangan di LPT1, petang Selasa.

Ketika kejadian, kedua-dua mangsa dilaporkan dalam perjalanan dari arah Bentong Ke Kuantan bagi mengiringi kenderaan Jabatan Pendidikan Pahang yang membawa kertas peperiksaan SPM.

Mangsa yang telah berkhidmat 31 tahun dalam pasukan meninggalkan balu Mazura Md Yusop, 50, dan empat anak, berumur antara sembilan dan 26 tahun.

Mendiang Watson pula yang baru bertugas tiga tahun meninggalkan seorang balu Natasha Elsy Anak Juta, 20 tahun.

Mendiang dijangka diterbangkan ke Sarawak hari ini untuk disemadikan di kampung halamannya.

-- BERNAMA