Ayam paprik lauk sahur terakhir arwah mak, ayah

Ayam paprik lauk sahur terakhir arwah mak, ayah
Muhammad Adib ketika menyiram air di pusara ibu dan ayahnya Tanah Perkuburan Islam Kampung Sura Tengah.
DUNGUN: "Sahur pagi tadi mak masak ayam paprik," kata Muhammad Adib Anuar, 18 tahun, yang tidak menyangka ia menjadi juadah sahur terakhir dijamah kedua ibu bapanya sebelum maut dalam kemalangan mengakibatkan empat terbunuh dan seorang parah di Kuala Nerus pagi Sabtu.

Dalam kemalangan itu, bapa Anuar Said, 57 tahun, dan ibunya, Khasliza@Che Khasliza Che Hussin, 53 tahun, maut di lokasi kejadian manakala adik bongsunya, Nurul Nadirah, 14 tahun, cedera parah.

Muhammad Adib yang juga anak kedua dari tiga beradik berkata, walaupun agak mengejar masa, ibunya masih sempat memasak hidangan sahur untuk mereka sekeluarga.

"Mak dengan ayah agak kejar masa sebab nak ziarah sepupu ayah di Besut yang meninggal dunia kira-kira jam 12 tengah malami.

"Adik bongsu ikut mak dengan ayah manakala saya dengan kakak sulung, Nurul Amirah, 19 tahun, tak ikut sekali dan menjaga rumah," katanya ketika ditemui selepas jenazah kedua-dua ibu bapanya selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sura Tengah, di sini, kira-kira jam 9 malam, Sabtu.

Bagaimanapun, Muhammad Adib berkata, kedua-dua ibu bapanya itu tidak menunjukkan sebarang perubahan sikap atau memberi apa-apa pesanan sebelum bergerak ke Besut.
Katanya, mereka sekeluarga juga sempat membeli baju dan kelengkapan raya di Wakaf Che Yeh, Kelantan pada Rabu lalu.

"Sekarang baju raya mak ayah kami jadi kenangan terakhir yang ditinggalkan kepada kami tiga beradik," katanya sebak.

Sementara itu, bapa saudara Anuar dan Khasliza, Awang Seman Ismail, 59 tahun, berkata, dia tidak menduga jodoh kedua anak saudaranya itu sangat kuat hingga turut dijemput ALLAH SWT bersama.

"Kedua-dua mereka anak saudara saya, mereka berdua adalah sepupu. Mereka berkongsi hidup bersama dan tak sangka mereka 'pergi' pun bersama.

"Memang terkejut bila saya dapat tahu kemalangan meragut nyawa mereka berdua sebab saya memang tunggu untuk jumpa mereka di Besut," katanya yang tinggal di Felda Kampung Rahmat, Setiu.

Awang Seman yang juga peniaga berkata, dia berjanji untuk berjumpa Anuar dan Khasliza di Besut kerana dia juga mahu menziarah anak saudaranya yang meninggal dunia kira-kira jam 12 malam Jumaat akibat sakit tua.

Katanya, dia mengetahui berita duka mengenai kematian kedua-dua anak saudaranya itu dalam group WhatsApp ketika masih berada di rumahnya pada jam 11 pagi sebelum segera bergegas ke lokasi kejadian.

Menurut Awang Seman, tanggungjawab menjaga kebajikan ketiga-tiga anak Anuar dan Khasliza yang kini bergelar yatim piatu sekarang tergalas di bahunya.

"Keluarga kami akan bincang mengenai penjagaan ketiga-tiga anak pasangan ini. Mungkin mereka akan kekal tinggal di rumah ayah dan mak mereka di Taman Sura Tengah, sebab nenek mereka juga tinggal bersama sebelum ini.

"Tapi soal kebajikan mereka, saya sebagai datuk saudara akan ambil tanggungjawab itu," katanya lagi.


Kemalangan itu berlaku kira-kira jam 9.20 pagi tadi di Kilometer 32 Jalan Kuala Terengganu-Setiu berhampiran Kampung Pakoh Jaya, Kuala Nerus.

Akibat kemalangan itu, sepasang lagi suami isteri, Siti Nur Shahila Asla, 26 tahun, yang sedang hamil dan suaminya yang juga mekanik, Hafiiz Mohd Ibrahim, 29 tahun, turut maut di lokasi kejadian.

Kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta Peugeot yang dipandu Anuar bertembung dengan Proton Wira Aeroback dipandu Mohd Hafiiz yang datang dari arah bertentangan.


Tag: Muhammad Adib Anuar, kemalangan, Kuala Nerus, Anuar Said, Khasliza Che Khasliza Che Hussin, Nurul Nadirah, Felda Kampung Rahmat, Siti Nur Shahila Asla, Hafiiz Mohd Ibrahim


Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.