Banjir lumpur Karak: Pemegang konsesi syak wujud aktiviti pembalakan

Banjir lumpur Karak: Pemegang konsesi syak wujud aktiviti pembalakan
AZMIL: Kalau pergerakan tanah, itu tanah runtuh. Ini bukan tanah runtuh, ini aliran air dan debu. - Foto Astro AWANI
BENTONG: Pemegang konsesi Lebuhraya Pantai Timur (LPT) mengesyaki ada aktiviti pembalakan berlaku di kawasan banjir lumpur di KM 52.4 Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak, semalam.

Bagaimanapun, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Anih Berhad Datuk Azmil Khalid enggan mengesahkan sebarang aktiviti yang berlaku.

"Saya tidak nampak sendiri, saya tak berani cakap. Nanti fitnah pula.

"Saya tak kata yakin, saya rasa ada. Kalau tidak tak akan perkara ini berlaku," tegas Azmil.

BACA: Banjir lumpur di Lebuhraya KL-Karak

FOTO: Banjir lumpur di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak

BACA: Banjir Lumpur Karak: Empat kenderaan tertimbus di Lebuhraya KLK berjaya dikeluarkan

Tambahnya, pemantauan yang dilakukan pihaknya adalah terhad di mana pemegang konsesi hanya dibenarkan membuat pemantauan di kawasan seliaan mereka sahaja.

Beliau pada masa sama menafikan maklumat yang disebarkan kononnya kejadian yang berlaku semalam adalah kejadian tanah runtuh.

"Kalau pergerakan tanah itu tanah runtuh. Ini bukan tanah runtuh, ini aliran air dan debu. Hanya yang boleh bagi pengesahan adalah kita, yang tengok sendiri di sini," tegasnya yang ditemui selepas memantau lokasi kejadian di sini hari ini.

Beliau pada masa sama mencadangkan supaya satu sesi dialog diwujudkan antara pihaknya bersama dengan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) serta beberapa lagi agensi lain dalam menangani isu ini.

Azmil juga telah mengarahkan pihaknya untuk melakukan kerja-kerja pembersihan dalam kadar segera bagi memastikan lebuhraya tersebut dapat digunakan dengan segera.

Menerusi pemantauan Astro AWANI, terdapatnya bongkahan batu dan dahan-dahan pokok yang turut dihanyutkan bersama lumpur setinggi hampir satu meter.