Sejarah Melayu lama dan sejarah moden Malaysia perlu diadun semula di dalam subjek sejarah di sekolah bagi memastikan golongan muda masa kini memahami apa yang berlaku dalam negara sekarang, kata Sejarawan Negara Profesor Emeritus Tan Sri Khoo Kay Kim.

Sambil menyifatkan banyak kelompongan dalam penulisan sejarah sedia ada, beliau berkata, generasi muda perlu didedahkan dengan perkembangan sejarah sejak zaman Kesultanan Melayu Melaka.

"Bagi saya sejarah Malaysia seharusnya bermula dari zaman kerajaan Melaka dan perlu difahami proses perkembangan selepas itu sampai zaman moden.

"Zaman moden juga banyak aspek diabaikan. Jadi banyak kelemahan dalam sejarah Malaysia sekarang ini. Memang perlu dikaji kembali dalam sukatan pelajaran sejarah di sekolah," katanya kepada Astro AWANI.

Kata beliau, adunan sejarah lama dan sejarah moden amat penting dalam usaha mendidik anak-anak generasi masa depan negara supaya menyantuni perubahan zaman dan menghayati falsafah asas pembentukan negara.

Beliau turut menekankan, isi kandungan sejarah haruslah seimbang agar pemahaman sejarah dapat didalami sepenuhnya.

"Apa yang berlaku ialah mesti cuba sesuaikan keadaan tradisional dengan keadaan moden tetapi banyak aspek tradisional dipelihara.

"Oleh sebab itu, di seluruh dunia sekarang tiada negara ada dua Raja. Malaysia ada sembilan Raja, sembilan sejak 1895. Jadi kalau kita tidak faham bagaimana keadaan dulu kita tidak boleh faham apa yang berlaku selepas abad ke 19," katanya.

Kay Kim mengulas kenyataan Ahli Parlimen Muar, Datuk Razali Ibrahim pada Sabtu yang berhasrat membawa cadangan UMNO Bahagian Muar supaya subjek sejarah di sekolah dirombak semula.