Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) memaklumkan, bekalan air di 26 daripada 290 kawasan yang terjejas di wilayah Petaling, Klang, Gombak, Kuala Lumpur dan Kuala Langat, sudah pulih sepenuhnya.

Pengarah dan Ketua Operasi Air Selangor, Ir. Abas Abdullah berkata, jumlah direkodkan pada 4 petang itu adalah sembilan peratus daripada keseluruhan kawasan yang terjejas.

Beliau berkata, pihaknya telah menggerakkan sebanyak 93 lori tangki air ke premis-premis kritikal seperti hospital, pusat dialisis dan klinik kesihatan.

"Sebanyak 136 tangki statik juga telah ditempatkan di pusat dialisis, klinik kesihatan dan juga sekolah-sekolah bagi kegunaan para pelajar dan guru yang mula bersekolah pada hari ini," katanya dalam sidang media di Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan di sini pada Rabu.

BACA: Kerja penambahbaikan LRA SSP3 siap, pemulihan bekalan air bermula hari ini

Beliau berkata, bantuan bekalan air melalui lori-lori tangki ke kawasan perumahan akan bermula esok.

Justeru, Air Selangor menasihatkan pengguna agar mematuhi garis panduan PKPP semasa mengambil bekalan air di Pusat Khidmat Setempat (PKS) dan Pili Air Awam.

"Pengguna yang datang untuk mengambil air digalakkan memakai pelitup muka dan mengamalkan penjarakan sosial satu meter ketika beratur.

"Pili Air Awam juga akan disanitasikan secara berkala untuk mengelakkan penularan bakteria dan virus bagi memastikan keselamatan para pelanggan kami," ujarnya lagi.