Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini memanggil bekas ketua pesuruhjayanya Tan Sri Dzulkifli Ahmad bagi memberi keterangan bagi membantu siasatan dakwaan berlaku pindaan pada Laporan Audit Negara 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Beliau yang memakai sut hitam berkemeja putih tiba di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya kira-kira jam 10.25 pagi dengan menaiki kenderaan Nissan X- trail berwarna hitam.

Ini merupakan kali pertama Dzulkifli dipanggil oleh SPRM berhubung kes 1MDB.

Beliau merupakan antara saksi utama selepas pihak SPRM meneliti dokumen asal laporan akhir Audit 1MDB untuk dibandingkan dengan draf akhir yang dikeluarkan Jabatan Audit Negara Malaysia (JANM).

Siasatan SPRM berhubung laporan akhir Audit 1MDB susulan daripada pendedahan Ketua Audit Negara Tan Sri Dr Madinah Mohamad.

Beliau mendakwa berlaku pindaan laporan audit 1MDB dan dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira - Kira Wang Negara (PAC) pada 2016.