Seorang bekas pegawai Jabatan Kehakiman (DoJ) Amerika Syarikat (AS) mengaku bersalah berkomplot menipu bank di AS.

George Higginbotham merupakan bekas pegawai DoJ dan dituduh melakukan dua perkara yang berbeza, tetapi berkaitan dengan 1MDB.

Ini merupakan orang kedua mengaku bersalah selepas bekas pegawai Goldman Sachs Tim Leissner, mengaku mencuri dari 1MDB.

Tuduhan pertama adalah melibatkan kesalahan beliau melobi pihak berkuasa Amerika untuk tidak meneruskan siasatan terhadap skandal 1MDB.

Tuduhan kedua adalah menipu pihak berkuasa AS dalam mengalihkan wang haram ke bank-bank Amerika dalam usaha untuk membiayai tuduhan pertama beliau.

Wang sebanyak RM300 juta (AS$73 juta) akan dirampas oleh pihak DoJ setelah DoJ mendapati akaun-akaun ini dimiliki dan dikendalikan oleh rakan subahat Jho Low.

BACA: DoJ rampas RM300 juta dari akaun milik Jho Low

Jabatan Kehakiman berkata dalam satu kenyataan bahawa 'arkitek' yang didakwa oleh skandal 1MDB itu, iaitu Jho Low, telah mengupah George Higginbotham.

Higginbotham pada waktu itu memejang jawatan Pegawai Khusus Kongressional Kanan (Senior Congressional Affairs Specialist) di Jabatan Kehakiman.

DoJ mendakwa bahawa Higginbotham telah menggunakan jawatan beliau untuk mengalihkan ratusan juta ringgit yang dicuri dari dana 1MDB untuk digunakan dalam usaha melobi pihak berkuasa AS.

Higginbotham mengaku bersalah atas tuduhan ini dan berkata beliau telah berkomplot untuk membuat kenyataan palsu kepada bank-bank Amerika tentang sumber dan tujuan dana ini, dan juga menipu bank dengan pinjaman palsu dan dokumen perundingan.

Wang yang dipindahkannya kemudiannya digunakan dalam kempen melobi untuk menyelesaikan perkara-perkara sivil dan jenayah yang berkaitan dengan penyiasatan jabatan ke dalam skandal 1MDB itu untuk menggelapkan berbilion ringgit dari 1MDB.

Higginbotham dalam siasatan 1MDB?

Menurut DoJ, Higginbotham tidak memainkan peranan dalam siasatan 1MDB dan tidak mempengaruhi sebarang aspek siasatan ke dalam skandal ini.

Unit yang sedang menyiasat skandal 1MDB dikendalikan oleh Unit Kleptokrasi DoJ, di mana Higginbotham bukan merupakan salah seorang ahli daripada unit ini.