Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Rabu menahan reman seorang bekas pegawai tinggi Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang, bagi membantu siasatan kes projek terowong dasar laut.

Perintah tahanan reman selama empat hari dikeluarkan Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Majistret Georgetown Nur Fadrina Zulkhairi di Lokap Berpusat Bayan Baru.

Terdahulu, lelaki berusia 50-an itu dibawa ke lokap berkenaan dengan kenderaan SPRM pada jam 1.45 tengah hari dan dibawa keluar pada jam 4 petang .

Selain petugas media, penyokong suspek turut berkumpul di luar perkarangan lokap itu bagi menyatakan sokongan terhadapnya yang juga bekas pemimpin sebuah parti politik.

Lelaki itu ditahan selepas memberi keterangan di pejabat SPRM Pulau Pinang di Jalan Sultan Ahmad Shah pada Selasa.

BACA: SPRM buka enam kertas siasatan berhubung kes terowong Pulau Pinang

SPRM dalam satu kenyataan 4 Mac tahun lalu, berkata suruhanjaya itu mengesahkan sudah membuka enam kertas siasatan berkaitan projek terowong dasar laut di Pulau Pinang.

Dalam kenyataan itu, SPRM memaklumkan, kertas siasatan pertama dibuka pada Julai 2017, manakala lima lagi dibuka pada Januari 2018.

Sebanyak lima kertas siasatan sudah selesai dan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya.